Vaksin COVID-19: hukum ditetapkan selari pandangan tokoh ilmuan dan institusi fatwa dunia

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Jan. – Hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam dalam negara, adalah selaras dengan pandangan tokoh ilmuwan Islam dan institusi fatwa dunia.

Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.

Ini katanya termasuk kepada Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah; dan anggota Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.

“Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulama Indonesia),” katanya dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.

Pada 23 Disember lalu, Zulkifli mengumumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.

Tegasnya juga, sesuatu hukum yang diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum.

Views:

351
Kongsi :
Previous post MARii lancar platform padanan pekerjaan dalam talian berkaitan sektor pembuatan.
Next post Kes saman fitnah Mujahid terhadap Harakah dibicara mulai 12 Julai depan
Ubah saiz-+=