Martabat asal usul nama tokoh setiap sekolah – KM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 16 Oktober – Generasi muda di negeri ini perlu cakna, mengambil tahu dan mengenali tokoh-tokoh tersohor disebalik nama pada sekolah masing-masing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, perkara itu perlu disertakan dengan kajian dan penyelidikan agar tokoh berkenaan lebih disegani seterusnya menjadi kebanggaan warga di setiap sekolah terbabit.

“Penyelidikan perlu dilaksanakan agar nama-nama besar ini dapat diwartakan sebagai tokoh mempunyai nilai budaya yang tinggi bagi sejarah Negeri Melaka.

“Secara tidak langsung usaha ini akan memberi satu peringatan dan lakaran sejarah, supaya anak-anak di sekolah tersebut menjadikan pemimpin tersohor ini sebagai inspirasi untuk lebih berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Anugerah Pendidikan, Pertandingan Pantun Dan Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor Negeri Melaka Tahun 2023 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalan beliau Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mohd Ghazali Ahmad.

WhatsApp Image 2023-10-16 at 7.51.36 PM (1)
AB Rauf bergambar bersama tokoh-tokoh guru sekolah Negeri Melaka

Pada majlis sama Ab Rauf turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka Tahun 2023 kepada Talib Abdullah yang juga bekas guru Bahasa Melayu dan Matematik beliau ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah.

Ab Rauf, turut berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Melaka kerana menyahut saranan Kerajaan Negeri dengan menganjurkan pertandingan tersebut.

“Saya dimaklumkan, kajian melestarikan sejarah sekolah-sekolah Negeri Melaka berasaskan nama tokoh tersohor ini melibatkan 43 sekolah. Angka ini membabitkan 14 sekolah rendah, 27 sekolah menengah dan dua kolej vokasional.

“Pertandingan ini terbahagi kepada dua iaitu kategori A bagi sekolah yang mempunyai sumber yang jelas dan mudah diperoleh. Sementara itu Kategori B adalah bagi sekolah yang tidak mempunyai sumber yang jelas dan sukar diperoleh,” katanya.

Selain itu pada majlis sama Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, dinobatkan johan Keseluruhan Peringkat Negeri dalam Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4024
Kongsi :

One thought on “Martabat asal usul nama tokoh setiap sekolah – KM

Comments are closed.

Previous post Pesawat Beechcraft B 200T mendarat cemas, empat anak kapal selamat
Next post Perabot jalan dipasang di Kampung Paya Mengkuang elak kemalangan
Ubah saiz-+=