Perabot jalan dipasang di Kampung Paya Mengkuang elak kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 17 Oktober – Kerja-kerja pemasangan perabot jalan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengatasi isu kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di Kampung Paya Mengkuang, di sini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit dan tindakan akan diambil sewajarnya pada kawasan itu yang turut merekodkan kemalangan jiwa.

“Baru-baru ini saya hadir melihat sendiri kawasan yang sering diadukan kepada saya melalui aduan telefon dan difahamkan sepanjang satu minggu telah berlaku tiga kemalangan di kawasan terbabit serta mengakibatkan satu kemalangan maut.

“Kemalangan yang berlaku ini bukan sahaja di sebabkan keadaan bentuk jalan raya dan selekoh malah terdapat beberapa simpang kecil di sekitar yang menjadi laluan penduduk perlu diberi perhatian.

“Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah akan mengambil tindakan segera memasang perabot keselamatan jalan raya seperti memperbanyakkan papan tanda keselamatan, lampu amaran dan ‘speed breaker’ sebagai panduan peringatan kepada pengguna jalan raya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam perkembangan lain, Hameed yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, pihaknya komited mengesan beberapa kawasan titik panas kemalangan di negeri ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Katanya, pihaknya menerusi JKR Melaka akan meninjau beberapa kawasan titik panas kemalangan untuk memastikan pemasangan perabot keselamatan jalan raya yang mencukupi mampu mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku.

“Kita akan memastikan pengguna jalan raya yang melalui di kawasan kemalangan ini selamat menggunakan jalan raya daripada berdepan dengan insiden yang tidak diingini.

“Dengan pemasangan perabot keselamatan jalan raya ini sekurangnya mampu memberi amaran awal kepada pengguna untuk berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2578
Kongsi :
Previous post Martabat asal usul nama tokoh setiap sekolah – KM
Next post Taman Laut Melaka penyumbang stok perikanan negara
Ubah saiz-+=