Sorting by

×

Masyarakat Orang Asli miliki pengenalan diri menjelang tahun 2023 – JPN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ASAHAN 20 Mac – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri bagi memastikan semua Orang Asli di negeri ini mempunyai dokumen pengenalan diri.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Masitah Muhamat berkata pihaknya mendapati masih terdapat segelintir Orang Asli di negeri ini yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Katanya, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), golongan Orang Asli antara golongan bersasar yang diberi perhatian.

“Sebelum ini, pihak mobil JPN sudah datang ke Tebong Stesyen ini, dan kita telah memaklumkan kepada Tok Batin setiap kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) untuk mewar-warkan program hari ini.

“Kita sudah maklum untuk sediakan segala borang serta dokumen dan minta dibawa pada hari ini.

“Dan kebanyakan kes hari ini melibatkan pelbagai urusan seperti menukar kad pengenalan diri, daftar lewat kelahiran dan pelbagai lagi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Penduduk Kampung Orang Asli Air Dusun, Alam Dol, 43,  mengucapkan terima kasih kepada JPN dan JAKOA kerana membantu dia mendapatkan sijil kelahiran anaknya yang didaftar lewat.

“Anak saya, Arisman Alam, sudah memasuki usia tiga tahun pada tahun ini, saya mendaftarnya lambat kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada dua tahun lalu.

“Arisman anak ketiga saya, dua lagi anak saya sudah mempunyai sijil kelahiran. Bagi saya biar susah sekarang, namun mudah apabila mereka (anak-anak) mahu masuk ke sekolah kelak, ” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Polis rampas senapang patah, peluru hidup, dadah di Kuala Krai
Next post ‘Ibu jom balik rumah’
Ubah saiz-+=