MATTA Fair Melaka 2023 kutip RM12 juta

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 21 Oktober – Sejumlah RM12 juta berjaya diperoleh menerusi penganjuran Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka 2023 yang berlangsung awal bulan ini.

Pengerusi MATTA Melaka Chapter, Goh Hock Gin berkata, selain memperoleh kutipan melebihi sasaran ditetapkan, penganjuran selama tiga hari itu juga menunjukkan peningkatan kepada pakej pelancongan domestik apabila mencatat nilai jualan sebanyak RM500,000.

“Pencapaian tahun ini amat menggalakkan apabila kita berjaya mencatat jualan sebanyak RM12 juta dengan kehadiran pengunjung seramai 22,000 sepanjang tiga hari penganjuran pada 6 hingga 8 Oktober lalu. Ini menunjukkan perkembangan yang baik bagi industri pelancongan.

“Menariknya juga, pakej dan tiket pelancongan domestik merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila meningkat daripada hanya RM100,000 pada tahun lalu kepada RM500,000 tahun ini.

“Peningkatan ini membuktikan pelancongan domestik semakin menjadi pilihan ramai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hadiah kepada pembeli tiket Matta Fair Melaka 2023 di sebuah hotel, di Banda Hilir, semalam.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan hadir sama, Pengurus Besar, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron.

photo1696589728 (1)
HOCK GIN

Hock Gin berkata, berdasarkan sambutan cukup baik pada tahun ini, pihaknya akan meneruskan penganjuran MATTA Fair bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelasnya, pada 2024, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan sehingga RM30 juta dan jualan pakej pelancongan domestik akan menjadi fokus utama.

“Dengan kejayaan ini, kita menyasarkan nilai jualan RM30 juta untuk tahun hadapan yang mana Matta Fair Melaka 2024 dijangka akan berlangsung pada Ogos di lokasi yang lebih besar. Malah pakej pelancongan domestik akan diketengahkan dengan pelbagai tawaran menarik.

“Untuk penganjuran tahun ini kita hanya menempatkan 68 gerai pameran namun untuk 2024 MATTA menyasarkan untuk menempatkan sehingga 120 gerai yang akan menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1143
Kongsi :
Previous post Ganding bahu jayakan Hari Pelancongan Dunia 2025
Next post Bank sejarah Melaka
Ubah saiz-+=