Sorting by

×

Mayat wanita warga emas melecur 70 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Seorang wanita warga emas maut akibat melecur apabila terperangkap selepas rumah kedai dihuninya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk, di sini, terbakar malam tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan disedari orang awam sebelum menghubungi talian kecemasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, akibat kebakaran itu mangsa Koo Kim Foong, 75, melecur kira-kira 70 peratus di beberapa bahagian badan.

Katanya, wanita terbabit dikatakan tinggal bersendirian dan difahamkan bangunan itu disewa sejak dua generasi lalu.

“Pasukan bomba menemui mayat mangsa di tingkat atas rumah kedai dua tingkat berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan selepas kira-kira tiga jam operasi dijalankan pasukan penyelamat hanya mendapati terdapat seorang sahaja mangsa.

“Akibat kebakaran, mangsa melecur 60 hingga 70 peratus di bahagian perut serta peha dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal dilakukan pasukan forensik polis keatas badan mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Kita sudah mengambil keterangan saksi yang juga anak mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 malam sebelum dua buah jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan BBP Padang Temu bersama 23 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, jentera berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.

“Kebakaran itu menyebabkan premis berkenaan musnah 80 peratus dan terdapat seorang mangsa yang terperangkap.

“Punca dan dari mana kebakaran itu bermula masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba akan jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai di Jonker Walk
Next post Kapal persiaran mewah pilih Melaka sebagai destinasi berlayar
Ubah saiz-+=