MBOR iktiraf terbitan Buku Puisi Pandemik UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) penerbitan buku puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020 karya Lim Swee Tin, baru-baru ini.

Pengiktirafan itu sempena tajuk rekod ‘Longest Covid-19 Pandemic Poem’ yang disampaikan Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow Hooi kepada Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr. Raha Abdul Rahim.

Menurut Raha, buku tersebut menghimpunkan 57 buah puisi mengenai pandemik Covid-19.

SWEE TIN menunjukkan hasil karyanya bersama Raha.

“Puisi-puisinya mengenai kesan penularan pandemik Covid-19 yang dirasai masyarakat.

“Buku ini ditulis Swee Tin iaitu nama yang tidak asing dalam industri buku selain pemuisi terkenal yang menerima S.E.A Write Award tahun 2000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku tersebut di Auditorium Canselori Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Swee Tin telah menghasilkan lebih 40 kumpulan puisi dengan lebih 180 buah antologi yang memuatkan karya-karyanya.

Raha berkata, ia kejayaan berganda UTeM apabila berjaya menerbitkan sebuah buku mengenai pandemik Covid-19 MBOR.

“Buku ini menjadi hadiah kepada rakyat Malaysia dan pasukan barisan hadapan yang berjaya melalui detik sukar menangani pandemik ini.

“Semua memori bersejarah diungkapkan membuatkan pembaca dapat mengimbau semula perkara sepanjang penularan Covid-19 di seluruh dunia,” katanya lagi.

Buku tersebut boleh didapati secara dalam talian di Shopee, MohBeli, utembooks online dan secara walk-in di Penerbit dan kedai buku terpilih sekitar Melaka.

Sempena pelancaran buku itu, Pertandingan Video Deklamasi Puisi turut dilancarkan dengan hadiah lumayan sehingga RM1,000 kepada pemenang.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati dengan melayari laman web Penerbit UTeM.

Views:

319
Kongsi :
Previous post RM13.8 bilion untuk rakyat hilang pekerjaan
Next post Sistem lampu isyarat pintar akan diselaraskan bersama PBT
Ubah saiz-+=