Sistem lampu isyarat pintar akan diselaraskan bersama PBT

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER MERBAU 14 Julai – Kesesakan lalu lintas bagi laluan masuk ke lokasi pelancongan di Banda Hilir akan diatasi secara berperingkat bagi memendekkan perjalanan rakyat tempatan dan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infratruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, berdasarkan perkembangan baharu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sudah membangunkan lampu isyarat pintar bermula dari persimpangan Ayer Keroh sehingga ke persimpangan berhampiran Hospital Melaka.

Bagaimanapun katanya, selepas daripada kawasan itu sehingga memasuki kawasan bandar di Banda Hilir, semua lampu isyarat berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Buat sementara waktu kita sudah membangunkan waktu percubaan bagi menjimatkan masa hampir 20 minit dari persimpangan Ayer Keroh hingga ke Hospital Melaka yang sebelum ini mengambil masa kira-kira hampir satu jam.

“Jika kita dapat selaraskan sistem lampu isyarat bersama PBT, ia dapat memendekkan masa perjalanan,” katanya ketika ditemui pada Hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersama Masyarakat dan Jabatan Kerajaan di Balairaya Ayer Merbau, di sini.

Mengulas lanjut, penyelarasan sistem lampu isyarat pintar adalah antara inisiatif yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk melancarkan pergerakan kenderaan dari luar ke kawasan bandar.

“Selain daripada pembinaan jejambat yang siap dibina, sistem lampu isyarat pintar adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memendekkan perjalanan dari Ayer Keroh untuk memasuki Bandar Melaka,” katanya.

Views:

778
Kongsi :
Previous post MBOR iktiraf terbitan Buku Puisi Pandemik UTeM
Next post Arkib digital dalam talian
Ubah saiz-+=