Arkib digital dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MERLIMAU 14 Julai – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mewujudkan platform digital menerusi projek penyelidikan bagi penyimpanan lukisan terukur bangunan warisan dunia di Negeri Melaka.

Pengarah PMM Mohd Hatta Zainal berkata, projek itu hasil peruntukan Geran TVET Applied Research Grant Scheme (TARGS) bernilai RM100,000 yang diterima pada tahun 2018.

“Ia menerusi projek e-Polytage:Heritage Digital Archive using webGIS technology (e-PolyTage) yang merupakan fasa pertama pembangunan Arkib Digital Bangunan warisan.

“Tumpuan utama ialah ‘Civic Zone‘ iaitu kawasan Core Zone Unesco World Heritage Site Melaka yang diusahakan ahli penyelidik PMM,” katanya.

Antara penyelidik tersebut ialah Shahrul Hapizah Musa selaku Ketua Penyelidik dan ahli-ahlinya Noor Suhaiza Sauti, Noor Azidah Abdullah, Fadhillah Mohd Nasir dan Prof. Dr Yahaya Ahmad.

Projek ini membawa khidmat rundingan bersama Pusat Geospatial Negara (PGN) 29 Julai 2019 lalu bagi kerjasama menggunakan platform Malaysia Geospatial Services (MyGOS) dan hosting aplikasi serta pangkalan data di PGN bagi membangunkan projek e-PolyTage.

Sementara itu, Shahrul Hapizah berkata, tujuan utama pelaksanaan projek itu bagi pengurusan dokumentasi Lukisan Terukur sebanyak 17 bangunan dan monumen bersejarah di Melaka (Civic Zone) dalam bentuk arkib digital menggunakan aplikasi Web GIS.

“Kita juga memenangi beberapa anugerah peringkat antarabangsa seperti 2nd International Conference on Recent Trends in Engineering Management, Information Technology, Networking & Applied Sciences (EITNA-2019), Tokyo, Jepun.

“Selain International Symposium on management of Cultural Heritage 2019, University of Tsukuba, Tokyo, Jepun dan lain-lain,” katanya.

PMM turut mendapat kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Warisan Negara (JWN), Pusat Geospatial Negara (PGN), Universiti Malaya (UM)& Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Katanya, inisiatif penyimpanan secara digital dokumen lukisan terukur bangunan warisan dunia itu memberi kemudahan kepada PERZIM dan MBMB dalam mengekalkan nilai warisan sedia ada.

“Simpanan secara atas talian yang boleh diakses sesiapa saja ini merupakan yang pertama dilaksanakan di Negeri Melaka,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Cawangan PGN Masitah Abd Kadir dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Ishak Mohamad.

Views:

610
Kongsi :
Previous post Sistem lampu isyarat pintar akan diselaraskan bersama PBT
Next post Pengusaha belacan ‘tersepit’
Ubah saiz-+=