MEDAC gesa lebih ramai usahawan tidak formal memanfaatkan SPIN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

LENDU 6 Feb. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi MEDAC) menggesa lebih ramai usahawan tidak formal memanfaatkan bantuan modal khusus untuk mereka melalui Skim Pembiayaan Informal (SPIN).

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, tidak ramai usahawan berkenaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, memohon pinjaman mudah SPIN yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Ini kerana kebanyakan mereka tidak memahami atau tidak tahu mengenai kewujudan SPIN yang disediakan MEDAC sejak November lalu.

Beliau berkata, setakat ini hanya 842 usahawan sudah menerima manfaat SPIN yang menyediakan pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000 bagi membantu mereka menjalankan perniagaan, terutama yang terkesan akibat pandemik itu.

Beliau menjelaskan, usahawan tidak formal ialah mereka yang terbabit dalam perniagaan bersaiz kecil dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Contohnya, TEKUN Cawangan Masjid Tanah mencatatkan sifar usahawan tidak formal yang memohon mendapatkan pinjaman SPIN sedangkan program ini adalah untuk usahawan yang tidak berdaftar dan tidak ada dokumen SSM.

“Cara untuk memohon, cuma perlu bawa salinan MyKad, penyata bank, bil utiliti dan bukti memiliki perniagaan yang dijalankan ke pejabat TEKUN dan insya-Allah lulus dalam tempoh tujuh hari,” katanya ketika meninjau usahawan di Pasar Tani Masjid Tanah, di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 36 bulan, lebih ramai usahawan tidak formal harus merebut peluang berkenaan bagi memastikan mampu bertahan dalam perniagaan.

Katanya, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan perniagaan usahawan terbabit menghadapi cabaran
getir, TEKUN sedia membantu mereka.

Mas Ermieyati berkata, kementerian berkenaan memperuntukkan RM50 juta dalam SPIN bagi memberi manfaat kepada 10,000 usahawan tidak formal untuk mengembangkan perniagaan dan mendaftar dengan SSM.

Mengenai perniagaan Pasar Tani, beliau berkata, peniaga terbabit bersyukur kerana masih dibenarkan beroperasi meskipun
PKP 2.0 dilaksanakan sejak 13 Januari lalu dan dijadualkan berakhir pada 18 Februari ini.

“Alhamdulillah, peniaga pasar malam sudah dibenarkan beroperasi mulai semalam dan ia memberikan kelegaan kepada ramai usahawan, terutama yang terbabit dalam perniagaan pasar tani dan pasar malam,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta usahawan terbabit supaya berani melakukan perubahan kepada perniagaan dalam talian bagi
memastikan mereka kekal berdaya saing.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post Sedih tetapi akur dengan SOP Tahun Baru Cina
Next post APM pertaruh nyawa selamatkan si bulus
Ubah saiz-+=