Melaka anjur Bacaan Yasin, Munajat Kesyukuran 24 Ogos ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Kerajaan Negeri akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Munajat Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Hari Pahlawan dan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2023 pada 24 Ogos ini di Masjid Al-Azim.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, majlis itu bagi mengenang jasa serta sumbangan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam selain mantan Yang di-Pertua Negeri dalam meneraju kepimpinan, pemerintahan negeri Melaka.

Katanya, majlis itu juga untuk mendoakan kesejahteraan Tun Mohd Ali dan rakyat Melaka supaya sentiasa berada dalam keharmonian serta kemakmuran.

“Sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) adalah salah satu jabatan yang diamanahkan untuk menjayakan program ini.

“Manakala, sambutan Hari Pahlawan dan Hari Kebangsaan pula acara tahunan bagi seluruh negara dalam memperingati perjuangan wira-wira negara demi mencapai kemerdekaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini, di sini, hari ini.

Tambahnya, sambutan majlis berkenaan dijangka dihadiri lebih 3,000 tetamu daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan termasuk rakyat Melaka.

“Kita menjemput semua untuk hadir pada majlis ini sama ada kakitangan JAIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), jabatan kerajaan, agensi-agensi agama serta agensi lain.

“Semua ketua jabatan kerajaan dan swasta, guru-guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA JAIM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) serta pelajar madrasah tahfiz al-Quran dijemput,” katanya.

Majlis berkenaan juga akan dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri,  Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1142
Kongsi :
Previous post JKM Melaka terima lebih 4,000 aduan menerusi kod QR Prih@tinJkmMelaka
Next post MPAG kibar 2,000 Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=