Melaka bentuk Ahli Dewan Undangan Belia Jun ini – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

JASIN 18 Mei – Kerajaan Negeri sedang membentuk Ahli Dewan Undangan Belia bagi mengangkat suara belia terhadap isu semasa dibincangkan di peringkat kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata Dewan Undangan Belia itu seperti Parlimen Belia yang akan dilaksanakan pada Jun depan.

“Dewan Undangan Belia ini seperti Parlimen Belia, kita sedang membuat cadangan bagi memastikan inisiatif ini boleh direalisasikan di peringkat Negeri Melaka.

“Kita boleh jadikan ia platform menjana pemimpin masa depan dan peluang kepada orang muda menyuarakan aspirasi mereka terhadap kepimpinan kerajaan.

“Orang muda juga dapat melahirkan apa juga citarasa dan pandangan mereka untuk dijadikan dasar kepada pembinaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Stadium Mini Jasin, di sini hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V.P. Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sambutan hari belia menunjukkan kesepakatan seluruh Majlis Belia di Negeri Melaka.

“Sambutan ini menunjukkan bahawa belia-belia di Melaka adalah belia yang berdaya saing dan boleh memacu masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post Melaka tuan rumah Hari Belia Negara 2024
Next post 10,000 gamatkan larian bersama ‘wira merah’
Ubah saiz-+=