10,000 gamatkan larian bersama ‘wira merah’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 19 Mei – Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir mendapat sambutan luar biasa apabila disertai lebih 6,000 peserta.

Program yang bermula pada jam 8.45 malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Wira M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh dan lain-lain kenamaan.

Kor Ming pada sidang media selepas majlis berkenaan menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai satu bentuk penghargaan daripada masyarakat yang menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan anggota bomba sebagai tonggak penyelamatan negara.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Menteri bahawa acara larian ini merekodkan penyertaan paling ramai peserta di Negeri Melaka pada tahun ini. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada warga Melaka.

“Kita akan terus mempergiat acara-acara seperti ini ke arah semangat bomba dan rakyat berpisah tiada supaya rakyat faham jasa dan bakti anggota bomba,” katanya.

Menariknya, acara larian santai itu turut mendapat kerjasama padu daripada hampir kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka bersama rakyat di kawasan masing-masing bertujuan memeriahkan lagi sambutan berkenaan.

Paling mencuri tumpuan adalah ‘pertarungan’ di antara dua wakil rakyat iaitu Adun Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Adun Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membawa rombongan masing-masing bagi membuktikan siapa jaguh larian yang lebih hebat bagi merancakkan lagi acara berkenaan.

Selain larian membabitkan dua kategori iaitu 3 kilometer dan 5 kilometer, turut diadakan cabutan bertuah untuk peserta dengan hadiah utama berupa sebuah Yamaha Y15 dan pelbagai lagi hadiah menarik.

Turut diadakan persembahan nyanyian dan tarian bagi menghiburkan orang ramai yang hadir, selain gerai jualan termasuklah kios pembelian cenderamata Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post Melaka bentuk Ahli Dewan Undangan Belia Jun ini – Ab Rauf
Next post Bomba buka pengambilan 509 anggota baharu
Ubah saiz-+=