Melaka Bila Larut Malam rancakkan TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 27 Mei – Melaka merupakan negeri pertama yang menawarkan produk pelancongan selepas jam 11 malam menerusi Program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu akan memberi impak yang positif khususnya kepada pertumbuhan ekonomi negeri selain merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, ia sekali gus memberi nilai tambah kepada para peniaga kecil dan pengusaha kendera saji yang turut diberi peluang untuk berniaga bagi meningkatkan pendapatan serta ekonomi mereka.

“Pada 26 Mei 2024 secara rasminya kita akan melancarkan produk pelancongan baharu yang dinamakan Melaka Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife bermula pada 1 Jun 2024 (Sabtu) nanti.

“Melaka Bila Larut Malam adalah inspirasi daripada kejayaan kerajaan negeri semasa pelaksanaan kemasukan percuma pada 20 Februari yang lalu.

“Susulan itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menyantuni rakyat dan memberi peluang kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk menikmati produk pelancongan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Melaka Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife di hadapan Bangunan Stadhuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata tiket kemasukan pada kadar serendah RM10 untuk menikmati lokasi produk-produk pelancongan seperti Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Panggung Bangsawan, Muzium Penjara, Muzium dan Galeri Melaka serta ‘Melaka Floating Market’.

“Kesemua lokasi terpilih itu boleh dikunjungi menerusi program ini pada minggu pertama setiap hari Sabtu malam Ahad bermula jam 11 malam hingga 2 pagi.

“Bagi Zoo Melaka pula akan mula beroperasi dari jam 10.00 malam hingga 1 pagi yang juga menawarkan tiket masuk RM10 seorang.

“Manakala, Muzium Penjara Malaysia Melaka menawarkan tiket kemasukan RM3 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Tetapi bagi warga asing tiket masuk adalah RM6 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak dengan waktu operasi dari 11.00 malam hingga 2.00 pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post Tersedut asap punca kematian tiga beranak
Next post Boleh berniaga sampai jam 3 pagi
Ubah saiz-+=