Melaka buka 3 PPV baharu, percepat proses vaksinasi

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER MOLEK 24 Mei – Sebanyak tiga lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam baharu akan dibuka di negeri ini bermula hari ini bagi menampung proses pengagihan vaksin membabitkan rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tiga PPV awam yang baharu itu ialah di Dewan Hang Tuah iaitu di daerah Melaka tengah, Dewan CREATE Simpang Ampat (Alor Gajah) dan Dewan Hj Ahmad Ithnin Merlimau (Jasin).

Penambahan itu menjadikan Melaka kini mempunyai enam PPV awam selepas Dewan Tun Ali, Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah dan Dewan Alamanda, Jasin dibuka bulan lalu iaitu pada permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2.

“Selain lokasi tersebut, kita juga akan membuka empat lagi PPV awam iaitu Dewan CTRM Batu Berendam, Dewan MMU, Dewan MPHTJ Bukit Beruang dan Dewan UiTM Alor Gajah yang akan dibuka pada 15 Jun depan,” katanya.

Rahmad berkata, selain pemberian vaksin melalui tiga hospital dan 10 PPV awam, klinik swasta juga akan melibatkan diri dalam pemberian vaksin Fasa 2 yang mana ia akan bermula pada 1 Jun depan.

Jelasnya, sebanyak 12 buah klinik swasta telah bersedia sebagai Pusat Pemberian Vaksin Klinik Swasta (PPVGP) untuk pemberian vaksin Fasa 2 iaitu 10 klinik swasta di daerah Melaka Tengah dan dua klinik swasta di daerah Alor Gajah.

“Dengan penambahan PPV ini adalah dijangkakan seramai 109,510 orang rakyat Melaka akan menerima vaksin.

“Ini bermakna 97 peratus daripada mereka yang layak bagi Fasa 2 dan telah mendaftar dalam MySejahtera akan menerima vaksin mereka menjelang 30 Jun depan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bekas Ketua Menteri Adly Zahari yang mempersoalkan kadar pemberian vaksin yang perlahan di negeri ini, Rahmad menjelaskan ia disebabkan bilangan dos vaksin yang rendah yang diterima Melaka daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, sehingga 19 Mei, Melaka hanya menerima sebanyak 84,380 dos vaksin yang mana daripada jumlah itu sebanyak 46,042 telah digunakan untuk petugas barisan hadapan pada PICK Fasa 1, manakala sebanyak 20,073 dos telah digunakan bagi fasa 2 sehingga 22 Mei lalu dan baki sebanyak 18,265 pula akan terus diberi untuk penerima yang dijadualkan di PPV ditetapkan.

“Bagi mengatasi masalah ini (kekurangan bekalan vaksin), Jabatan Kesihatan Negeri telah memohon tambahan vaksin mengikut kapasiti sebenar PPV sedia ada termasuk PPV baru yang akan dibuka nanti,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

740
Kongsi :
Previous post ‘Nasi cincin’ kejutan ‘frontliner’ rai ulang tahun perkahwinan
Next post Dua maut, 14 cedera dalam kes tembakan di New Jersey
Ubah saiz-+=