Melaka cadang buka PPLK di setiap kawasan PBT

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Ogos- Sebanyak tiga Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) di Melaka diwujudkan pada tahun ini bagi mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan sampah sedia ada.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata kesemua tiga PPLK adalah di Masjid Tanah, Bukit Rambai dan Ayer Keroh, kesemuanya dibuka serentak pada tahun ini.

Katanya, dua daripada tiga PPLK iaitu di Masjid Tanah dan Bukit Rambai telah dibangunkan dengan kerjasama SWCorp negeri manakala di Taman Botanikal, Ayer Keroh merupakan yang pertama di bawah seliaan SWM Environment.

“Sebenarnya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan lapan PPLK diwujudkan di setiap negeri dan Melaka sudah mempunyai tiga.

“Jadi akan datang kita mensasarkan untuk mewujudkan lagi lima PPLK dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terdapat di Melaka seiiring dengan cadangan daripada Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

“Pembukaan PPLK ini juga bertujuan untuk membantu mengurangkan pembuangan sampah atau sisa pepejal ke tapak pembuangan sampah di Sungai Udang yang sedang kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sembang Santai SWM Environment di PPLK Taman Botanikal, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib dan Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Rohayah Abdullah.

Mengulas lanjut, Norlisam berkata pihaknya kini sedang meneliti cadangan untuk membina PPLK di semua kawasan PBT di negeri ini.

“Kita sedang meneliti cadangan terbabit dan dijangka sekiranya dilaksanakan, Taman Botanikal di bawah kawasan MPHTJ akan menjadi pusat utama.

“Namun kita akan melihat kesesuaian lokasi kerana kita perlu membina PPLK seumpama ini di lokasi tumpuan orang ramai bukan lokasi terpencil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1468
Kongsi :
Previous post ZM Kris Mas ungguli takraw daerah Melaka Tengah
Next post MASKOM B juara sepak takraw Liga Sukan Komuniti Alor Gajah
Ubah saiz-+=