Melaka cadang lantik bekas pegawai syarak pantau masjid, surau

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

REMBIA 11 April – Melaka bercadang untuk melantik bekas pegawai syarak di negeri ini bagi memantau aktiviti masjid dan surau dari semasa ke semasa.

EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelantikan bekas pegawai syarak itu lebih kepada membantu aktiviti seperti pengurusan jenazah dan berkaitan soal muazin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, berkata perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Exco sebelum ini namun belum ada sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Ya betul, memang berlaku di surau atau masjid, ada kes bacaan tajwidnya tidak begitu bagus namun hakikatnya tiada siapa yang sempurna.

“Perkara ini sudah dibincangkan di peringkat mesyuarat Exco untuk lantik bekas pegawai syarak dan duduk di Majlis Asyura masjid serta surau bagi tujuan membantu.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas menyampaikan Sumbangan Ramadan kepada dua masjid dan 11 surau dalam DUN Rembiadi Masjid Luqman Nulhakim Sungai Petai, semalam.

Sumbangan wang tunai iaitu RM2,000 untuk masjid dan RM1,000 surau itu bertujuan membolehkan pihak pengurusan menggerakan aktiviti serta program sepanjang Ramadan ini.

Muhammad Jailani mengulas mengenai isu yang diperkatakan di laman sosial Twitter baru-baru ini yang mendakwa imam telah melakukan kesalahan dalam bacaan ketika solat.

Katanya, sesiapa sahaja tidak sempurna termasuk imam yang juga insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Ada dalam kalangan mereka ini yang melakukan pengorbanan untuk orang kampung, menyelamatkan keadaan kerana tiada orang tampil menjadi imam.

“Jadi, kita hargai pengorbanan mereka ini, oleh itu, jika ada kesilapan seperti itu, tiada siapa yang sempurna,” kata beliau.

Habis

1) Muhammad Jailani menyampaikan replika cek Sumbangan Ramadan kepada Pengerusi Surau Islamiah Air Puteh, Malek di perkarangan Masjid Luqman Nulhakim Sungai Petai
2) Muhammad Jailani
3) tangkap layar menunjukan salah seorang pengguna Twitter meluahkan rasa tidak puas hati mengenai imam yang didakwa tidak menyebut dengan betul bacaan dalam solat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1142
Kongsi :
Previous post Landskap bercahaya bangkitkan kemeriahan Aidilfitri – Sulaiman
Next post Hina Nabi: Penulis buku ditahan
Ubah saiz-+=