Melaka giat promosi kempen ‘Dream Now, Travel Later’ rancakkan sektor pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MELAKA 4 Jun — Kerajaan negeri Melaka sedang giat mempromosi kempen ‘Dream Now, Travel Later’ dalam usaha merancakkan semula sektor pelancong negeri ini yang terkesan ekoran penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata kempen sejak 1 Jun sehingga hujung tahun ini digerakkan menerusi platform ‘Melaka eXcess’ yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store.

Beliau berkata menerusi kempen itu, pelbagai rangkaian sektor pelancongan negeri menawarkan diskaun tiket masuk ke destinasi pelancongan, produk pelancongan dan perkhidmatan mereka bermula 10 peratus dan ke atas, dan tempoh sah laku sehingga 2023.

“Sehingga kini, 80 pengusaha sektor pelancongan di Melaka telah berdaftar di bawah aplikasi ‘Melaka eXcess’ dan kita jangkakan lebih banyak lagi akan berbuat demikian dalam masa terdekat untuk mempromosi produk atau perkhidmatan mereka.

“Inisiatif ini dirancang dalam tempoh dua bulan sejak penularan COVID-19 melanda negara namun pelancarannya belum dapat dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan dan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kit Makanan kepada Pengayuh Beca di Melaka Ekoran COVID-19 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 350 pengayuh beca berdaftar di Melaka menerima sumbangan berupa beras, susu tepung, gula, minyak, telur serta biskut dan, majlis turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Saari Basiron.

Mengulas lanjut, Jailani berkata antara destinasi pelancongan terlibat ialah Melaka Wonderland, Taman Buaya Melaka, Melaka River Cruise, Zoo Melaka Menara Taming Sari, Mamee Jonker House dan Toy Museum Melaka serta sektor pengangkutan seperti Melaka Sentral dan Panorama Melaka.

Beliau berkata cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah termasuk sebuah Proton Alza dan pulangan kredit berjumlah RM5 juta, menanti pelancong yang membeli tiket menerusi platform itu.

Dalam pada itu, katanya pengusaha sektor pelancongan turut disaran memanfaatkan aplikasi berkenaan untuk mengembang dan memperomosikan perniagaan serta produk mereka kerana caj yang dikenakan amat rendah berbanding platform atas talian lain.

— BERNAMA

Views:

400
Kongsi :
Previous post Gov’t, people of Melaka hail Mohd Ali Rustam’s appointment as Governor
Next post KPDNHEP Melaka rampas barangan jenama mewah tiruan
Ubah saiz-+=