Melaka Golf Championship 2020 perkasa subsektor pelancongan sukan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 3 Dis. – Melaka Golf Championship 2020 mampu menjadikan Melaka sebagai destinasi sukan golf utama di Malaysia sekali gus memperkasa subsektor pelancongan sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sukan yang bakal diadakan pada 18 hingga 19 Disember ini mampu menjadi tarikan pelancongan domestik ke negeri ini.

Menurutnya, acara yang diadakan terbabit sekali gus mewujudkan jaringan antara negeri terlibat yang menarik peminat sukan golf tanah air bagi berkunjung ke Melaka.

JAILANI

“Penyertaan yang dibuka pada kejohanan kali ini disertai 100 peserta bagi merebut Piala Ketua Menteri yang akan diadakan di Ayer Keroh Country Club dan Tiara Melaka Golf and Country Club.

“Aktiviti pelancongan yang mempunyai kesinambungan iaitu dengan menawarkan pelbagai pakej lokasi dan penginapan menarik seperti ini mampu memberi peluang kepada pelancong untuk menetap dengan jangka masa lama ke negeri ini.

“Perkara ini sekali gus akan menggalakkan pelancongan domestik untuk kekal berada di Melaka dalam tempoh yang lama bagi memberi peluang mereka meneroka beberapa tarikan lain di negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Golf Championship 2020 di Hotel Ames, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley.

Pada masa sama, Sir Ley berkata, program yang diadakan itu mampu memberi peluang negeri ini dalam memperkasa sektor pelancongan dalam krisis kesihatan yang melanda negara.

“Perkara ini secara tidak langsung memberi pelbagai potensi lain kepada Melaka bagi menjana semula sektor pelancongan dan ekonomi di negeri ini.

“Malah, ia mampu memberi galakan kepada badan-badan korporat terlibat untuk terus menyertai dan memberi sokongan dalam pembangunan pelbagai sektor di Melaka,” katanya.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Agong berkenan tinjau, sertai operasi SAR remaja jatuh Sungai Pahang
Next post Melaka perkenal Teksi Air tahun hadapan
Ubah saiz-+=