Melaka perkenal Teksi Air tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 3 Dis. – Perkhidmatan Teksi Air bakal diperkenalkan pada tahun hadapan sebagai langkah terbaik bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dalam tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kaedah itu sebagai pendekatan terbaik dan langkah kreatif kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai produk pelancongan baharu di Melaka menjelang tahun hadapan.

“Sebanyak dua buah teksi air yang menawarkan perkhidmatan membawa pelancong ke lapan destinasi perhentian di sepanjang sungai terbabit akan diperkenalkan dengan perkhidmatan yang bermula dari Melaka Sentral ke pusat bandar menggunakan jajaran Sungai Melaka.

“Produk yang akan dikenali sebagai ‘Water Taxi’ yang diseliakan Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) selain menambah baik produk sedia ada seperti Melaka River Cruise dengan perjalanan dianggarkan sejauh 4.5 kilometer.

‘Produk seperti ini dilihat sangat sesuai bagi penawaran pakej pelancongan untuk seisi keluarga dan pasti dapat memulihkan semula sektor pelancongan di negeri ini.

“Selain itu, pelbagai produk baharu turut diperkenalkan pada tahun hadapan bagi menarik pelancong ke Melaka antaranya Dinosaur Park di Zoo Melaka, Rumah Hantu di Menara Taming Sari dan Kompleks Pelancongan Klebang.

‘Malah, kita turut akan perkenalkan ‘Love Boat’ untuk pasangan suami isteri atau kekasih dan bagi orang Islam mereka perlu menunjukkan surat nikah sebelum dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut yang ditawarkan dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Golf Championship 2020 di Hotel Ames, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pendekatan memperkenalkan kepelbagaian produk baharu itu merupakan antara usaha diambil Tourism Melaka bersama pemain industri pelancong negeri ini yang bukan sahaja menarik ramai pelancong namun memberi peluang kepada mereka agar menginap di negeri ini pada kadar yang lama.

Katanya, biarpun sasartan mencapai 5.6 juta pelancong agak tersasar disebabkan pandemik COVID-19 pendekatan dalam mengadakan penganjuran lain seperti kejohanan golf yang disertai penduduk luar dalam dalam negeri mampu menambah jumlah pelancong dalam tempoh dua minggu terakhir ini.

“Seperti kita alami, pengusaha pelancongan begitu terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kerana itu kita sentiasa berusaha untuk memastikan Melaka terus mempunyai tempat pelancongan yang unik dan mempersonakan,” katanya.

Views:

1916
Kongsi :
Previous post Melaka Golf Championship 2020 perkasa subsektor pelancongan sukan
Next post Melaka perkenal produk pelancongan baharu tahun depan
Ubah saiz-+=