Melaka perkenal produk pelancongan baharu tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 4 Dis. – Pelbagai produk pelancongan baharu akan diperkenalkan menjelang tahun hadapan bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kaedah itu sebagai pendekatan terbaik dan langkah kreatif kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai produk pelancongan baharu di Melaka terutama berhadapan dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya, pelbagai produk baharu akan diperkenalkan bagi menambah bilangan pelancong ke negeri ini iaitu Teksi Air yang akan menyelusuri sepanjang Sungai Melaka, Dinosaur Park di Zoo Melaka, Rumah Hantu di Menara Taming Sari (MTS) dan Kompleks Pelancongan Klebang.

“Sebanyak dua buah teksi air yang menawarkan perkhidmatan membawa pelancong ke 17 destinasi perhentian di sepanjang sungai terbabit akan diperkenalkan dengan perkhidmatan yang bermula dari Melaka Sentral ke Pusat Bandar menggunakan jajaran Sungai Melaka.

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis

“Produk yang akan dikenali sebagai ‘Water Taxi’ yang diseliakan Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) selain menambah baik produk sedia ada seperti Melaka River Cruise dengan perjalanan dianggarkan sejauh 5.4 kilometer.

“Produk seperti ini dilihat sangat sesuai bagi penawaran pakej pelancongan untuk seisi keluarga dan pasti dapat memulihkan semula sektor pelancongan di negeri ini.

‘Malah, kita turut akan perkenalkan ‘Love Boat’ untuk pasangan suami isteri atau kekasih dan bagi orang Islam mereka perlu menunjukkan surat nikah sebelum dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut yang ditawarkan dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Melaka Golf Championship 2020 di Hotel Ames, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pendekatan memperkenalkan kepelbagaian produk baharu itu merupakan antara usaha diambil Tourism Melaka bersama pemain industri pelancong negeri ini yang bukan sahaja menarik ramai pelancong, namun memberi peluang kepada mereka agar menginap di negeri ini pada kadar yang lama.

Katanya, biarpun sasaran mencapai 5.6 juta pelancong agak tersasar disebabkan pandemik COVID-19 pendekatan dalam mengadakan penganjuran lain seperti kejohanan golf yang disertai penduduk luar dalam dalam negeri mampu menambah jumlah pelancong dalam tempoh dua minggu terakhir ini.

“Seperti kita alami, pengusaha pelancongan begitu terjejas akibat pandemik Covid-19 dan kerana itu kita sentiasa berusaha untuk memastikan Melaka terus mempunyai tempat pelancongan yang unik dan mempersonakan,” katanya.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post Melaka perkenal Teksi Air tahun hadapan
Next post Belanjawan Melaka 2021: Kemudahan jalur lebar perlu dinaik taraf
Ubah saiz-+=