Melaka kekal catat kes harian COVID-19 tiga angka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Melaka kekal merekodkan tiga angka kes baharu COVID-19 sejak seminggu lalu dengan 636 kes semalam, menjadikan kumulatif 37,158 kes.

Menerusi perkongsian infografik di Facebook rasminya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menjelaskan kes jangkitan baharu itu membabitkan 627 kes tempatan dan sembilan kes import.

Katanya, bagi perincian kes, daerah Melaka Tengah merekodkan kes positif tertinggi iaitu 384 kes diikuti Alor Gajah dan Jasin masing-masing 178 dan 74 kes.

“Daripada jumlah itu, 488 individu adalah warganegara Malaysia dan 148 orang lagi bukan warganegara,” katanya.

Menurut JKN Melaka bagi 636 kes itu, kontak rapat keluarga antara lima punca jangkitan utama dengan 272 kes diikuti kluster kilang (222 kes), saringan bergejala dalam kalangan orang ramai (87 kes) dan tempat kerja bukan kilang (35).

“Pertambahan kes baharu menjadikan jumlah kes aktif yang masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam dan swasta meningkat kepada 6,051 kes.

“Daripada jumlah itu, 107 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 34 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, enam kematian direkodkan semalam membabitkan individu berusia antara 29 hingga 82 tahun dengan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik, manakala kes sembuh adalah 285 kes.

Terdapat dua kluster baharu tempat kerja membabitkan kilang menjadikan 66 jumlah kluster aktif.

“Kluster pertama dikenali Kluster Jalan PBR Satu membabitkan sebuah kilang di Bukit Rambai dengan 124 individu disahkan positif setakat ini.

“Satu lagi kluster iaitu Kluster Industri Solar Valley dikesan di kawasan Sungai Petai, Alor Gajah dengan 138 individu positif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post Lelaki warga emas temu ajal gantung diri
Next post 27 permohonan pasangan jarak jauh diluluskan
Ubah saiz-+=