Melaka kembali ceria

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 22 Nov. – Beberapa lokasi pelancongan yang sebelum ini lengang, kini kembali ceria selepas mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir dua minggu.

Ia berikutan penamatan PKPB yang sebelum ini mengehadkan pengoperasian mercu pelancongan yang menjadi sumber ekonomi negeri bertuah ini.

BEBERAPA pengayuh beca masih menunggu pelanggan bagi menaiki perkhidmata itu biarpun promosi telah ditawarkan sejak PKPB lalu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati beberapa lokasi pelancongan utama di negeri ini kembali beroperasi malah semakin menerima kunjungan pelancong domestik bagi melancong melepaskan rindu di bumi bersejarah.

Keadaan cuaca cerah biarpun kadang kala disulami awan mendung, memperlihatkan keadaan di beberapa lokasi di sekitar Banda Hilir semakin dihimpit kedatangan pelancong.

Sejak tengah hari tadi, jumlah kenderaan semakin meningkat menjadikan kesesakan berkala berlaku terutama di lokasi pusat bandar sekali gus menjadikan sektor itu rancak kembali mengorak langkah mencari peluang yang ada.

Keceriaan itu dapat dilihat menerusi wajah lega pemain industri pelancongan di negeri ini, ramai peniaga mula mencongak pelanggan yang datang, pengayuh beca pula mula mencari peluang dalam gerihnya demi sesuap nasi.

RAMLI tetap menekankan SOP yang diperintahkan agar sentiasa berwaspada dengan kedatangan pengunjung yang semakin meningkat di gerainya.

Seorang peniaga cendol, Ramli Husin, 36, berkata, beliau begitu bersyukur dengan keadaan yang berlaku disebabkan menerima kunjungan pelanggan yang semakin meningkat sejak jam 10 pagi tadi.

Katanya yang berniaga di Cendol Jam Besar, kawasan itu semakin menggamit pelancong yang datang, menjadikan khabar gembira buatnya bagi meraih rezeki yang datang.

Menurutnya keadaan itu berbeza berbanding dua minggu lalu sehinggakan terpaksa menutup gerainya disebabkan kurangnya sambutan.

“Alhamdulillah, keadaan semakin pulih rezeki pula semakin bertambah malah ramai yang datang ke sini untuk menikmati hidangan yang disediakan berbanding untuk membungkusnya saja.

“Berbeza dengan apa yang berlaku dalam tempoh PKPB lalu kerana kebanyakan yang datang hanyalah dalam kalangan penghantar makanan untuk membungkus selepas menerima tempahan pelanggan.

“Kami begitu bersyukur setelah ditamatkan perintah itu bagaimanapun perlu diingatkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dititikberatkan oleh setiap peniaga mahupun pelancong bagi menghindari dari penularan COVID-19,” katanya.

Bagaimanapun keadaan itu berbeza dengan pengayuh beca di negeri ini yang kurang menerima sambutan biarpun promosi bagi menarik pelancong diperkenalkan sejak PKPB lalu.

MUHAMMAD

Bagi Muhammad Muhmad Shah, 32, perkara itu berkemungkinan disebabkan promosi yang ditawarkan iaitu menaiki beca dengan harga serendah RM15 itu hanya terhad kepada rakyat Melaka sahaja.

Jelasnya, keadaan sejak pagi tadi, hanya sekadar memenuhi kudrat yang ada dan tidak ‘kencang’ seperti mana keadaan sebelum pandemik melanda.

“Bagaimanapun kami masih menggunakan budi bicara yang ada dengan tawaran harga lebih rendah kepada pelancong biarpun kadar itu agak rendah dari yang ditetapkan namun asalkan ada rezeki yang tiba.

“Perkara ini disebabkan ada juga pelancong yang mengatakan kadar harga promosi tersebut tidak relevan dan perlu dikaji semula bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami tawarkan.

“Apapun yang berlaku mungkin perkara ini hanya diperingkat awal saja yang disebabkan perintah ini baru ditamatkan dan ia mungkin memakan sedikit masa bagi meraih lebih banyak sambutan pelancong pada masa akan datang,” katanya.

Views:

800
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir Melaka meningkat
Next post Bayi sembilan bulan antara positif COVID-19
Ubah saiz-+=