Melaka kumpul data bazar Ramadan, Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KLEBANG 27 Mac – Kerajaan Negeri bakal mengumpul data-data berkaitan bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini sebagai rujukan pada masa hadapan.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, data-data tersebut amat diperlukan dalam membantu perancangan perniagaan di sesuatu kawasan dan pada masa sama turut membantu peniaga di negeri ini.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dapat bekerjasama mengumpul data dan angka-angka penting penganjuran bazar di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Saya percaya pihak majlis (PBT) juga mengambil berat tentang data serta angka-angka penting seperti jumlah pengunjung, nilai jualan dan sebagainya yang mana pada masa sama, saya selaku Exco Teknologi juga mahu dapatkan maklumat tersebut.

“Seperti di Bazar Aidilfitri Klebang, penganjur menyasarkan 1.5 juta pengunjung, di mana jumlah itu sudah melebihi penduduk Negeri Melaka sendiri yang hampir satu juta.

“Jadi, jika sasaran itu berjaya direalisasikan, ia bermakna bazar yang kita anjurkan turut berjaya menarik pengunjung dari luar Melaka. Jadi, data seperti itu amat kita perlukan untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat penganjuran Glam Ramadan Bazar Klebang, di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong.

Mengulas mengenai bazar tersebut, Rais menyifatkan bazar Aidilfitri di Klebang adalah bazar paling ikonik di Melaka memandangkan saban tahun penganjuran itu berjaya mencetuskan kemeriahan di Melaka.

Beliau berkata, untuk tahun ini, seramai 177 peniaga bumiputera telah ditempatkan di bazar berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2031
Kongsi :
Previous post Paip pecah, 13 kawasan di Masjid Tanah terjejas bekalan air
Next post Lelaki warga India dituduh bunuh pesara, seorang lagi suspek masih diburu
Ubah saiz-+=