Melaka kurangkan caj deklarasi kastam, mansuh caj deklarasi antara zon

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 28 November – Kerajaan Negeri mengurangkan caj borang deklarasi kastam serta memansuhkan caj borang deklarasi kastam antara industri kepada 25 pengilang di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) Batu Berendam dan Tanjung Kling, berkuat kuasa Januari tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, caj borang deklarasi kastam dikurangkan daripada RM10 kepada RM6 bagi jumlah perisytiharan kastam melebihi 5,000 borang setiap bulan.

Manakala bagi caj borang deklarasi antara industri, katanya, Kerajaan Negeri memansuhkan caj berkenaan di kedua-dua kawasan zon terbabit bagi pergerakan barang antara syarikat sama.

“Atas sifat keyakinan pelabur datang ke Negeri Melaka, saya buat pengumuman bahawa satu keputusan dibuat untuk menghapuskan caj ‘interzone industry’ yang selama kita berikan caj kepada pengilang berkenaan.

“Kita juga berikan pengurangan caj deklarasi borang kastam daripada RM10 kepada RM6, yang mana mampu memberikan pulangan baik kepada pemain industri di FIT Batu Berendam dan Tanjung Kling,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Ab Rauf dalam ucapannya berkata, penambahan bangunan baharu iaitu blok 11 syarikat berkenaan menunjukkan prestasi operasi pengeluaran membanggakan dengan peningkatan jumlah tenaga kerja menghampiri 11,000 orang untuk memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

“Syarikat itu adalah contoh syarikat semikonduktor terbaik yang menjadikan Melaka sebagai lokasi pembuatan semikonduktor kompleks, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pusat perkongsian perkhidmatan untuk menyokong pertumbuhan masa depan.

“Kerajaan Negeri Melaka komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan dan pembangunan masa depan industri semikonduktor negeri, termasuk membangunkan kemahiran pekerja dan meningkatkan keupayaan asas bekalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3830
Kongsi :
Previous post Pesara tentera maut, dua lagi cedera
Next post Inovasi SMK Krubong harumkan nama Melaka
Ubah saiz-+=