Sorting by

×

Inovasi SMK Krubong harumkan nama Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 29 November – Inovasi rekaan sekumpulan pelajar mencipta produk mengesan banjir dan kebocoran gas membawa nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong gah di peringkat kebangsaan.

Ia selepas sekolah berkenaan dinobat johan Cabaran Binaan 3D pada Techlympics Malaysia 2023, baru-baru ini.

Inovasi ciptaan produk yang dinamakan FAM Kit oleh tiga pelajar dan guru dari kumpulan Kruss Makers itu berjaya menambat hati juri dan menewaskan 49 pesaing lain dari seluruh negara, sekali gus mengharumkan nama Negeri Melaka.

Guru pengiring, B. Nathan berkata, FAM Kit yang dihasilkan menggunakan percetakan 3 dimensi (3D) itu turut mampu mengesan kualiti udara, suhu dan kebakaran di dalam rumah.

Menurutnya, kejayaan yang diraih itu sekali gus membuktikan kemenjadian pelajar sekolah itu dengan melakar kecemerlangan dalam bidang ciptaan teknologi yang berkebolehan tinggi di peringkat kebangsaan.

“Kami bersyukur setelah Kruss makers berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 terbaik dan seterusnya cemerlang di peringkat akhir apabila muncul juara Techlympics kali ini.

“Menerusi penganjuran itu, ia bukan sahaja merungkai batas kecemerlangan teknologi, tetapi menjadi platform untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Terima kasih diucapkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Pengetua Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), semua guru dan pelajar yang memberikan sokongan kepada kami sehingga menjadi juara di pentas kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, dengan pencapaian gemilang Kruss Makers, semangat inovasi dan kebolehan untuk berdaya saing di peringkat kebangsaan kini semakin membara dan yakin kejayaan itu bakal membuka peluang untuk lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.

Terdahulu, penganjuran Techlympics Malaysia 2023 dengan tema Memperkasa Inovasi Teknologi telah dianjurkan dua hari bermula 19 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Putra.

Ia disertai 7,000 peserta dari seluruh negara bagi menyerlahkan bakat dalam bidang inovasi dan teknologi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3661
Kongsi :
Previous post Melaka kurangkan caj deklarasi kastam, mansuh caj deklarasi antara zon
Next post Lebih 1,000 ‘volunteer’ mahu jadi duta pelancongan Melaka
Ubah saiz-+=