Lebih 1,000 ‘volunteer’ mahu jadi duta pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 29 November – Kerajaan Negeri menerima sebanyak 1,089 permohonan bagi penyertaan sebagai ‘volunteer’ atau sukarelawan duta pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu hanya 300 sukarelawan yang lulus selepas saringan dan selebihnya dalam proses untuk dilantik menjadi duta itu.

“Sukarelawan yang lain ini masih dalam proses untuk diberikan input dan ilmu tentang sektor pelancongan yang melibatkan penganjuran sebahagian 76 acara TMM2024.

“Penglibatan mereka ini sebagai bukti bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengenepikan mana-mana persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau pihak swasta untuk terlibat sama dalam merealisasikan TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai bagaimana sumbangan sektor swasta dalam menjayakan TMM2024 pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kerajaan Negeri juga mengamalkan konsep ‘mesra pelabur’ dengan mengalu-alukan penglibatan semua agensi, syarikat korporat serta Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan TMM2024.

“TMM2024 ini agenda utama Kerajaan Negeri yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada 14 sektor pelancongan negeri.

“Justeru, Kerajaan Negeri menggalakkan semua agensi untuk terlibat sama termasuk portfolio exco-exco di negeri ini yang lain menjadi jabatan angkat mengisi program atau acara di pavilion TMM2024 dengan konsep yang berbeza setiap bulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Inovasi SMK Krubong harumkan nama Melaka
Next post TMM2024 : Peruntukan RM25 juta fokus tapak warisan UNESCO
Ubah saiz-+=