TMM2024 : Peruntukan RM25 juta fokus tapak warisan UNESCO

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 29 November – Kerajaan Negeri menerima peruntukan khas berjumlah RM25 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu, sekali gus menyokong usaha penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Mengikut pecahan peruntukan, sebanyak RM12.8 juta dibelanjakan bagi projek pembangunan, penyelenggaraan, pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan, manakala bagi kajian dan penerbitan sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan dan program warisan sebanyak RM5.6 juta.

“Daripada jumlah peruntukan itu, Kerajaan Negeri juga optimis untuk mencapai sasaran seramai 15 hingga 18.7 juta pelancong ke Melaka pada tahun hadapan dengan sasaran jumlah pendapatan sebanyak RM29.9 bilion.

“Pendapatan ini merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Melaka di mana sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 48 peratus kepada pendapatan negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai jumlah pelaburan Kerajaan Negeri sempena TMM2024 pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Razak, walaupun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM8,466,500 (83.83 peratus) yang dilihat sebagai belanja hangus dalam menganjurkan TMM2024, namun hasilnya memberikan impak kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan bajet sebanyak RM5 juta yang mana peruntukan ini digunakan untuk kempen promosi, publisiti dan penyediaan bahan-bahan promosi TMM2024 di dalam dan luar negara.

“Sebanyak RM1,995,500 diperuntukkan untuk kempen promosi dan publisiti TMM2024, bakinya sebanyak RM3,004,500 pula akan digunakan bagi membiayai penganjuran sebanyak 76 buah acara-acara pelancongan sempena TMM 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post Lebih 1,000 ‘volunteer’ mahu jadi duta pelancongan Melaka
Next post Bangunan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru lama diserahkan kepada JKPTG
Ubah saiz-+=