Melaka mahu perluas pelancongan mesra Muslim

KOTA LAKSAMANA 4 Sept. – Kerajaan negeri berharap agar pelancongan mesra Muslim diperluas agar mampu menarik kehadiran pelancong beragama Islam selepas berakhirnya pandemik Covid-19 nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, dengan adanya segmen pelancongan seperti itu, ia bukan sahaja dapat menarik kehadiran pelancong domestik, bahkan pelancong luar negara, khususnya dari Timur Tengah untuk datang ke Melaka.

Beliau berkata untuk mencapai matlamat tersebut, lebih banyak hotel di negeri ini perlu mengikut jejak langkah MiTC Hotel yang memperoleh Pensijilan Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR) yang pertama di Melaka.

“Saya amat berharap hotel-hotel yang ada di Melaka dapat mengikut kejayaan MiTC Hotel yang mendapat sijil pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim yang pertama.

“Saya yakin jika lebih ramai ikut jejak langkah ini, pelancong-pelancong Timur Tengah dapat datang lebih ramai ke Melaka selepas berakhirnya pandemik Covid-19 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar UTC Datuk Saleh Mohd Dom.

Terdahulu, MiTC Hotel menjadi hotel pertama Melaka menerima pengiktirafan MFAR yang disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di Majlis Pengiktirafan Penginapan Mesra Muslim yang diadakan di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, semalam.

Views:

89
Previous post 56 peserta Pidato TYT ke separuh akhir
Next post Tambah baik fasiliti UTC Melaka untuk keselesaan pengunjung