Melaka mampu jadi kuasa besar teknologi – Prof Ahmad

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 23 Nov – Melaka perlu mempelbagaikan sektor ekonomi di negeri itu dan tidak lagi bergantung hanya pada sektor pelancongan.

Kebergantungan negeri bersejarah itu pada sektor pelancongan nyata memberi kesan besar apabila pandemik COVID-19 melanda awal tahun lalu yang menyaksikan banyak hotel dan pusat pelancongan terpaksa ditutup.

Menurut sepucuk surat daripada Profesor di Universiti UCSI Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim kepada New Straits Times (NST), sudah tiba masanya Melaka mula melihat kepada sektor teknologi untuk membangunkan semula ekonomi negeri itu.

Dengan struktur muka bumi yang berhampiran laut, teknologi ‘desalination’ atau penyahgaraman dijangka mampu menyelamatkan ekonomi negeri ini.

“Ada cara bagaimana untuk Melaka menjadi pemain teknologi terbesar di negara ini.

“Yang pertama ialah mereka perlu mewujudkan ekosistem yang efisien bagi membangunkan teknologi maju yang berupaya menarik pelabur seluruh dunia,” katanya dipetik oleh NST.

Menurutnya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) wajar diberikan tugas dan peranan untuk mewujudkan ekosistem tersebut.

Katanya, terdapat banyak universiti teknikal di beberapa negeri telah berjaya melaksanakan peranan seperti itu, seperti contoh di Jerman.

Menurutnya lagi, terdapat banyak teknologi yang boleh dibangunkan Melaka seperti komposit gentian karbon (carbon fibre composite) selain mula melihat ke arah bidang kecerdasan buatan (AI) teknologi rawatan sisa.

“Dalam era komputer dan keselamatan siber (cybersecurity) yang sedang membangun kini, teknologi quantum juga dianggap sebagai satu cabang yang menjanjikan,” katanya.

Beliau berkata, dengan menyasarkan teknologi yang mampu membawa pulangan besar, di samping menggunakan UTeM sebagai ‘sauh’, tiada sebab untuk negeri itu tidak berupaya mempelbagaikan ekonomi pada masa depan.

Katanya, tidak mustahil juga untuk melihat Melaka menjadi satu kuasa besar dalam dunia teknologi suatu hari nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2100
Kongsi :
Previous post Sg Rambai: Faizah tak akan sia-siakan amanah diberi rakyat
Next post 180 peniaga pasar malam daerah Jasin terima sumbangan
Ubah saiz-+=