Melaka masih buka pintu buat pelancong domestik

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 7 Okt. – Pintu masuk ke Melaka akan terus dibuka kepada pelancong domestik sekali gus menepis spekulasi mengaitkan sektor pelancongan akan kembali suram berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kedatangan pelancong amat dialu-alukan memandangkan ia amat penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi Melaka yang terkenal sebagai negeri berteraskan pelancongan.

Tegasnya, walaupun beberapa negeri menunjukkan pertambahan kes yang mendadak, namun beliau memberi jaminan bahawa negeri ini masih selamat dikunjungi dengan syarat setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita memang sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong seperti biasa. Tapi ingat setiap kali datang, janganlah langgar SOP. Peraturan sama masih berkuatkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Tak perlu bimbang datang ke Melaka. Kita jamin keselamatan, kita jamin kebersihan yang mana kita sentiasa menjalankan kerja-kerja nyahcemar di kawasan-kawasan pelancongan.

“Cuma kita minta, janganlah ditularkan perkara-perkara yang tak betul sepanjang tempoh ini yang akan memberi kesan kepada kita sebagai negeri pelancongan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Promosi ‘Oktober 2020 Frontliners dan Keluarga Anda Dihargai’ di atas Kapal Mendam Berahi, di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penurunan jumlah kehadiran pelancong minggu lalu, Muhammad Jailani berkata, ia sedikit sebanyak berpunca daripada penularan berita palsu mengenai pandemik COVID-19 yang kononnya merebak di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, minggu lalu.

Beliau mendakwa penularan berita itu seolah-olah memberi gambaran Melaka berada di tahap kritikal, sekali gus membuatkan orang ramai takut untuk datang ke negeri ini.

“Di Seri Negeri, kita laksanakan proses nyahcemar secara berkala dan kebetulan pula ada kes ADUN Ayer Limau berlaku pada waktu itu. Beliau juga telah menjalani proses kuarantin sejurus disahkan positif.

“Walaupun kes di negara ini sedang meningkat, namun Melaka tetap hanya ada satu kes sahaja sekarang dan saya berharap kita dapat mengekal status negeri hijau pada November dan Disember yang dijangka menjadi tempoh penting bagi memangkin sektor pelancongan di negeri ini,” katanya lagi.

Views:

527
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka pandang serius penularan mendadak
Next post PM akui kempen PRN Sabah antara punca peningkatan kes COVID-19
Ubah saiz-+=