Melaka mohon RM13.93b, laksana 330 projek pembangunan negeri – KM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 15 Jun – Melaka kemuka permohonan peruntukan sebanyak RM13.93 bilion bagi pelaksanaan 330 projek di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu Kerajaan Negeri telah menyenaraikan sebanyak 10 projek utama bagi pembangunan Melaka.

Antara projek itu adalah penaiktarafan dan pemodenan infrastruktur E-tanah dan menaik taraf infrastruktur di Lot Tanah Industri Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Fasa 2 seluas 8.94 hektar.

“Selain itu, ia turut membabitkan projek pembangunan ‘ecotourism’ Paya Lebar Alor Gajah Fasa 2 dan menaik taraf dan membina baharu Jalan 4 Lorong Persisiran Pantai dari Hatten City (FT192-Jalan Syed Abdul Aziz) ke Semabok (FT019-Lebuh AMJ) Daerah Melaka Tengah.

“Permohonan turut dibuat bagi projek membina baharu Pasar Jasin, membina Akademi Kemahiran KEMAS Negeri Melaka serta menaik taraf lain-lain kemudahan dan fasiliti.

“Semua ini projek yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kita minta supaya perkara ini diteliti kerana Melaka memerlukan suntikan projek ini untuk menjana ekosistem ekonomi yang baik untuk rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK12 2021-2025 Bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, Luqman Ahmad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, terdahulu Kerajaan Persekutuan telah pun meluluskan pelaksanaan projek-projek di bawah Rolling Plan Ke-3 (RP3) bagi tahun 2023 untuk Negeri Melaka.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan sebelum ini, kita terima sebanyak 204 projek melibatkan peruntukan bernilai RM7.05 bilion dalam RP3 ini.

“Antaranya, projek menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh AMJ dengan kos RM300 juta; Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) ke Bandar Melaka bernilai RM150 juta dan projek membina blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Melaka dengan kapasiti 476 katil bernilai RM700 juta dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1330
Kongsi :
Previous post Battle Of The Bands Tentera Darat meriahkan Melaka Agrofest 2023
Next post Kerajaan mahu segera laksana subsidi petrol bersasar, tapi sangat rumit – PM Anwar
Ubah saiz-+=