Melaka perkasa kempen tangani keganasan terhadap wanita

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TABOH NANING 27 Nov. – Pendekatan turun padang dari setiap daerah akan diperluaskan bermula pertengahan Disember ini bagi menangani masalah keganasan terhadap wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, pendekatan yang diambil menerusi Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita akan diadakan menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menurutnya, pihaknya turut menumpukan beberapa lokasi kawasan pinggiran pedalaman bagi memberi kesedaran kepada golongan wanita supaya terhindar daripada menjadi mangsa keganasan.

“Keganasan terhadap golongan ini telah mempengaruhi pelbagai aspek yang bukan sahaja dari segi fizikal, namun dari segi mental sehingga memudaratkan mereka.

PENGERUSI Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar

“Wanita tidak perlu malu untuk membuat aduan, jika menjadi mangsa keganasan kerana pelbagai inisiatif disediakan kerajaan termasuk kaunseling dan sebagainya.

“Kita telah menghentikan kes-kes yang berlaku ini dengan pelbagai cara dan berharap menerusi kempen yang dilaksanakan ia mampu memberi kesedaran masyarakat di luar sana agar dihentikan ke arah membentuk sebuah negara sejahtera,”katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Motivasi Menyeluruh untuk Mencapai Ketenangan Qalbu di Japerun Taboh Naning, di sini pagi tadi.

Tambahnya, statistik berdasarkan aduan yang diterima di talian Kasih berhubung kes keganasan rumah tangga yang berlaku di negeri ini merekodkan sebanyak 1,430 kes diterima sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Kes ini dilihat memerlukan perhatian semua pihak malah kita juga menerima sebanyak 197 kes keganasan rumah tangga direkodkan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada tempoh sama,” katanya.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Banjir: Hanya tinggal satu PPS di Melaka
Next post Bekalan keperluan asas di Melaka mencukupi
Ubah saiz-+=