Melaka, Perlis antara negeri mulakan tanaman jagung bijian – MAFI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

JASIN 4 April – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah memulakan tanaman jagung bijian bagi membantu pengeluaran makanan haiwan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan import makanan haiwan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, buat masa ini beberapa negeri antaranya Melaka dan Perlis sudah memulakan projek tanaman jagung bijian itu dalam skala yang kecil.

Katanya, tanaman itu penting memandangkan penternak kini berdepan beban tidak tertanggung apabila harga makanan haiwan seperti dedak, jagung dan kacang soya naik mendadak sehingga menjurus kepada kenaikan harga ayam, telur dan daging di pasaran.

Justeru Ahmad berkata, menjelang tahun 2033, sebanyak 80,000 hektar tanah di seluruh negara disasarkan akan ditanam jagung bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Matlamat kita ialah untuk mengurangkan kebergantungan dari luar dan supaya kita dapat membeli makanan dari dalam negara sendiri.

“Suatu ketika dahulu memang kita ada buat penanaman jagung bijian, tetapi disebabkan harganya yang murah, kita pilih untuk beli dari luar kerana lebih ekonomi.

“Tetapi saban tahun, kita melihat harganya semakin naik, daripada RM500 satu tan, pergi kepada RM900 satu tan pada 2020 dan akhirnya pada 2022 ia naik mendadak kepada RM1,900 satu tan iaitu kenaikan sebanyak 110 peratus.

“Jadi, pada ketika ini kita sedang mencari kawasan-kawasan lain yang bersesuaian untuk penanaman jagung dan pada masa sama, kita mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta untuk bersama terlibat dalam projek tanaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Kasih Ramadan MAFI dan Parlimen Jasin di Perkarangan Pusat Khidmat Parlimen Jasin, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazale Muhamad.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, selain tanaman jagung, MAFI bersama agensi dibawahnya juga sedang menjalankan penyelidikan tentang makanan alternatif haiwan.

Katanya, antara alternatif makanan haiwan ruminan seperi lembu dan kambing, serta unggas seperti ayam dan itik ialah isirung kelapa sawit yang bakal dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1886
Kongsi :
Previous post Kadar tol empat syarikat konsesi tidak dinaikkan, kekal hingga tamat tempoh – PM
Next post 100 penguatkuasa KPDNHEP Melaka pantau premis, bazar Ramadan
Ubah saiz-+=