100 penguatkuasa KPDNHEP Melaka pantau premis, bazar Ramadan

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 4 April – Hampir 100 pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka digerakkan sepanjang Ramadan ini bagi aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, kesemua mereka termasuk pegawai pemantau harga yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan akan bergerak ke lapangan seawal jam 4 pagi melakukan pemeriksaan di premis.

Beliau berkata, penguatkuasaan dan pemantauan dilakukan membabitkan semua peringkat rantaian pengeluar, pemborong dan peruncit bagi mengawal berlaku kenaikan harga.

“Kita tidak tertumpu di satu peringkat sahaja sebalik semua rantaian diperiksa kerana dari situ kita dapat lihat kenaikan itu bermula dari pihak mana.

“Pemantauan sudah dilakukan bermula semalam dan penguatkuasa akan keluar seawal pagi sehinggalah jam 10 malam termasuklah ke bazar Ramadan seluruh Melaka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan berlakunya kenaikan harga namun ianya tidak keterlaluan.

“Hasil daripada pemantauan dilakukan semalam, kita dapati berlaku kenaikan harga antara 15 hingga 20 peratus.

“Kita berharap peniaga dan pengusaha tidak terbabit dengan mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan sehingga menganiaya pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Norena berkata, KPDNHEP akan turut memantau kadar harga bagi bufet ramadan yang ditawarkan di hotel-hotel di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post Melaka, Perlis antara negeri mulakan tanaman jagung bijian – MAFI
Next post Bimbang bekalan ayam, telur terjejas menjelang Syawal
Ubah saiz-+=