Melaka-Pulau Pinang kongsi tuah – KM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

GEORGETOWN 14 Jun – Pertemuan di antara Kerajaan Melaka dan Pulau Pinang menerusi Misi Galakan Pelancongan dianggap cukup berharga dan bakal membuka pelbagai peluang kerjasama di antara kedua-dua negeri bersejarah itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, dalam pertemuan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Hotel Royal Chulan, di sini, banyak perkara yang boleh dipelajari Melaka seperti perancangan untuk memajukan sektor pelancongan dan pemuliharaan kawasan bersejarah.

“Kami bertukar pandangan, termasuk apa yang ada di Melaka dan apa yang ada di Pulau Pinang agar dapat merangka satu bentuk kerjasama bagi menambahbaik produk pelancongan, penjagaan dan pemuliharaan kawasan bersejarah.

“Saya turut menjemput beliau ke Melaka, agar kita boleh saling belajar dan mempelajari mengenai apa yang ada di kedua-dua negeri ini.

“Banyak boleh dipelajari delegasi Melaka hasil lawatan dan perbincangan hari ini dan semalam dan kita cuba buat di Melaka juga,” katanya ketika ditemui selepas melawat The Top@Komtar, hari ini.

Beliau diiringi EXCO Pelancongan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad dan ketua-ketua jabatan lain.

Dalam lawatan itu, delegasi Melaka turut diberikan taklimat mengenai Paparan Projek Gurney Wharf.

Terdahulu Sulaiman yang mengetuai delegasi negeri ini meluangkan masa hampir satu jam melawat Jajaran Tembok Kota Lama yang termasuk Fort Cornwallis yang kini sedang menjalani proses konservasi.

Sejurus selepas itu, kesemua kira-kira 30 delegasi Melaka turut melawat tingat teratas di The Top @ Menara Komtar yang menjadi tumpuan utama pelancongan Pulau Pinang bagi menikmati pemandangan tertinggi di negeri Pulau Mutiara itu.

Progam lawatan diadakan itu merupakan intipati dalam program Semarak Pelancongan Melaka 2022 dan Sesi Padanan Niaga, Revitalise & Rejuvenate Melaka 2022 diadakan dua hari bermula semalam.

Sementara itu, bagi mengakhiri lawatan ke negeri terbabit Sulaiman mengadakan kunjung hormat keatas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Hotel Eastern & Oriental sebelum bertolak pulang ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post UTeM anjur Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita secara percuma esok dan lusa
Next post Puncak tertinggi Pulau Pinang curi tumpuan delegasi Melaka
Ubah saiz-+=