UTeM anjur Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita secara percuma esok dan lusa
DURIAN TUNGGAL 14 Jun – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022 secara percuma pada esok dan lusa (15 dan 16 Jun) di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM.
Pengarah Program WTC 2022, Ts Dr Suriati Akmal berkata bertemakan ‘Usahawan Teknikal Wanita: Penjana Kemakmuran’, ia menjadi wadah kepada golongan wanita untuk mempelajari bidang keusahawan teknikal daripada pakar dalam bidang tersebut.
“Menerusi program ini kaum wanita akan tertarik untuk menjadi usahawan teknikal yang bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi keluarga dan negara, malah turut menyumbang kepada kebajikan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Antara pengisian program seperti bengkel latihan keusahawanan Women DNA bersama INSKEN, tatarias diri Women of Wisdom bersama i-LEAD, forum meja bulat, ekspo pameran keusahawan & inovasi dan karnival serta aktiviti keusahawan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin mengalu-alukan penyertaan golongan wanita dari seluruh negeri Melaka dan Malaysia amnya ke UTeM untuk menyertai program berimpak tersebut.
“UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu sentiasa prihatin dan turut menjadi ejen kepada inisiatif dan mekasnime ke arah membawa pembangunan kepada seluruh kaum wanita.
“Majlis perasmian penutup WTC 2022 akan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada petang 16 Jun nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.