Sorting by

×

MELAKA RANCANG LALUAN BAHARU, TINGKAT KECEKAPAN JARINGAN LOGISTIK

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TABOH NANING 6 Julai – Kerajaan Negeri merancang membina jaringan jalan baharu yang menghubungkan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) ke Ayer Molek sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi memperkukuh rangkaian logistik negeri.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembinaan jaringan jalan sepanjang kira-kira 12 kilometer (km) itu membabitkan anggaran kos sebanyak RM129 juta.

Hameed berkata, apabila siap kelak jaringan jalan baharu itu mampu memendekkan jarak perjalanan sebanyak 28 km, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan kenderaan berat.

“Perkembangan projek ini kini berada diperingkat reka bentuk oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka dilaksanakan menerusi Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 pada tahun 2027.

“Malah pada tahun hadapan juga dijangka akan berlangsung proses sebut harga, tender serta pelantikan kontraktor sebelum projek dimulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Melaka Inland Port (MIP) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Tapak Tanah Taboh Naning, Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri  Datuk Khaidhirah Abu Zahar;  barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta Pengarah Urusan Great Merchant Inland Port, Datuk Paduka Dzulfadly Abdullah.

Menurut Hameed, pembinaan jaringan jalan baharu itu juga antara sebahagian daripada perancangan jangka panjang bagi memperkukuh rangkaian logistik negeri serta menyokong pembangunan Melaka Inland Port (MIP).

“Kerajaan Negeri bukan sahaja membangunkan MIP, malah turut merancang rangkaian jalan raya yang lebih menyeluruh bagi memastikan hubungan antara pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat logistik dapat diperkasakan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut merancang pelebaran jalan dari kawasan Tangga Batu di Sungai Udang yang menempatkan Pelabuhan Tanjung Bruas bagi mewujudkan hubungan terus ke MIP,” katanya.

Jelas beliau, satu lagi projek baharu melibatkan pembinaan jajaran jalan dari Telok Gong ke Kampung Pulau, seterusnya ke Paya Lebar sebelum disambungkan ke MIP dengan anggaran kos RM98 juta yang dijangka siap pada 2028.

“Projek itu kini dalam proses penyediaan reka bentuk dan sebut harga selain apabila siap kelak, laluan ini bukan sahaja dapat memendekkan masa perjalanan malah menyediakan hubungan yang lebih cekap antara kawasan pelabuhan tanpa perlu melalui kawasan perkampungan tradisional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

262
Kongsi :
Previous post WRUR SUNGAI RAMBAI: RM300,000 NAIK TARAF JETI NELAYAN DARAT
Next post LEBIH 3,000 MERIAHKAN ‘KENDURIAN’ PARLIMEN MASJID TANAH