Melaka River Cruise ‘belanja’ petugas barisan hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 6 Okt. – Petugas barisan hadapan (frontliner) di seluruh negara bakal menikmati tawaran diskaun sebanyak 50 peratus untuk menaiki Melaka River Cruise (MRC) sepanjang bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, inisiatif tersebut diadakan bertujuan menghargai pengorbanan petugas yang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk menghargai petugas barisan hadapan yang banyak berjasa sepanjang tempoh pandemik ini.

“Lebih baik lagi ia datang hasil cetusan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang baharu iaitu Datuk Murad Husin yang diketahui sebagai orang lama yang banyak pengalaman.

“Promosi untuk ‘frontliners’ ini akan diadakan sepanjang Oktober dan jika ada sambutan kita akan melanjutkannya lagi di bulan berikutnya,” katanya dalam Majlis Pelancaran Promosi ‘Oktober 2020 Frontliners dan Keluarga Anda Dihargai’ di atas Kapal Mendam Berahi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Penolong Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir; Pengarah Jabatan Bomba Negeri Pahang Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka Raja Saiful Iswandy Raja Hassan.

Majlis itu turut meraikan kira-kira 60 anggota bomba seluruh Malaysia (kecuali Sabah) yang dibawa menaiki Melaka River Cruise mengelilingi Sungai Melaka.

Untuk rekod promosi harga tiket 50 peratus itu diadakan bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober ini kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Southern West Management (SWM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil media.

Promosi tersebut ditawarkan bukan sahaja kepada petugas tetapi juga kepada lima orang ahli keluarga mereka dengan cara menunjukkan kad pengenalan diri (pas kerja) untuk melayakkan mereka mendapatkan diskaun harga yang ditawarkan di kaunter MRC.

Melalui diskaun tersebut, petugas barisan hadapan dapat membeli tiket MRC dengan harga RM12.50 dewasa (harga asal RM25) dan RM7.50 untuk kanak-kanak (harga asal RM15).

Selain itu, diskaun berkenaan juga terpakai untuk sewaan bot dengan harga istimewa iaitu RM750 untuk Kapal Mendam Berahi (harga asal RM1500), RM600 untuk Bot Mawar (harga asal RM1,200) dan Melaka River Cruise dengan harga RM500 berbanding harga asalnya sebanyak RM1,000 yang boleh memuatkan seramai 25 orang.

Views:

566
Kongsi :
Previous post Melaka siap-siaga hadapi gelombang ketiga COVID-19
Next post COVID-19: Melaka pandang serius penularan mendadak
Ubah saiz-+=