
MELAKA SASAR 30 SYARIKAT JERMAN BERTAPAK DI GTP
AYER KEROH 8 Mei – Kerajaan Negeri menyasarkan 30 syarikat dari Jerman akan melabur di negeri ini melalui kerjasama strategik World Economic Council (WEC) dan International World Summit (IWS).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama itu apabila terlaksana kelak bakal mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya anak Melaka.
“Kerajaan Negeri komited merealisasikan penubuhan Taman Teknologi Jerman (GTP) sebagai destinasi pelaburan utama khususnya dalam sektor teknologi tinggi, automasi, tenaga hijau, Industri 4.0 dan digitalisasi.
“Alhamdulillah setakat ini kita telah memperoleh semua kelulusan teknikal yang diperlukan termasuk Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA), Kajian Kesan Trafik (TIA), Kajian Kesan Sosial (SIA), pelan bangunan dan penukaran ‘zoning’.
“Kita menjangka, menjelang bulan hadapan, kerja-kerja pembangunan akan dimulakan dan diharapkan memberi impak besar kepada ekonomi negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan WEC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan negeri.
Yang turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi WEC, Peter Nussbaum.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.