
BUKAN SEKADAR RIDE, KONVOI PEMUDA ALOR GAJAH ERATKAN SILATURAHIM
AYER KEROH 27 Jun – Bukan sekadar mengumpulkan ribuan penunggang motosikal, sebaliknya menjadi platform menyatukan komuniti menerusi minat yang sama.
Itulah matlamat penganjuran Konvoi Pemuda AG 3.0: Demi Alor Gajah yang bakal berlangsung pada 5 Julai 2026 di Dataran Keris Alor Gajah.
Ketua Pemuda UMNO Alor Gajah Amirul Basiron berkata, konvoi yang membawa slogan ‘Bukan Sekadar Ride, Ini Cerita Kita’ itu dijangka menghimpunkan 1,050 peserta, sekali gus melepasi sasaran awal seramai 1,000 penunggang.
Menurutnya, penyertaan yang dikenakan bayaran RM45 seorang itu membuktikan sambutan luar biasa daripada peminat motosikal sekitar Alor Gajah dan kawasan berhampiran.
“Ramai yang menyertai konvoi ini bukan kerana hadiah semata-mata, tetapi mahu bertemu rakan-rakan yang berkongsi minat sama. Ada yang saya sendiri tidak pernah kenal sebelum ini walaupun tinggal dalam kawasan Parlimen Alor Gajah.
“Sebab itu kita pilih slogan ‘Bukan Sekadar Ride, Ini Cerita Kita’. Setiap peserta ada kisah dan pengalaman masing-masing.
“Konvoi ini menjadi ruang untuk kita berkenalan, mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan hubungan dalam komuniti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Amirul peserta akan mula berkumpul seawal jam 8 pagi sebelum pelepasan konvoi dijangka berlangsung pada 9.30 pagi.
“Peserta akan melalui laluan Durian Tunggal, Ayer Keroh dan Lebuh SPA Sungai Udang sebelum menamatkan konvoi di Pantai Tanjung Bidara, dengan ketibaan dijangka sekitar 12.30 tengah hari.
“Setibanya di Pantai Tanjung Bidara, peserta akan disambut dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan artis seperti Yassin Senario, Kecik Hyper Act dan Didie Alias, selain cabutan bertuah yang menawarkan lebih 300 hadiah.
“Hadiah utama ialah sebuah motosikal Yamaha 125Z, selain lima lagi motosikal, topi keledar dan pelbagai hadiah menarik lain,” katanya.
Beliau berkata penganjuran kali ketiga itu turut menampilkan beberapa pertandingan seperti motosikal klasik tercantik, motosikal moden atau EV tercantik, motosikal paling unik, Girls Rider tercantik serta rider paling berhemah selain pameran motosikal.
“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga dijangka hadir merasmikan program ini pada 2.30 petang.
“Alhamdulillah penyertaan tahun ini meningkat berbanding kira-kira 700 peserta pada edisi lalu, sekali gus membuktikan acara ini semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti permotoran.
“Kita harap program ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan kerana ia bukan sekadar aktiviti bermotosikal tetapi medium untuk mengeratkan hubungan masyarakat dan menyatukan komuniti di Alor Gajah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


