
‘RED LECHWE’ ZOO MELAKA JALANI PROSEDUR SEDASI, RAWAT BENGKAK TESTIS
AYER KEROH 27 Jun – Di sebalik haiwan spesies antelop diberi nama ‘Red Lechwe’ ini, berdiri sepasukan Veterinar Zoo Melaka yang sentiasa bersedia menjadi benteng pertama, merawat setiap hidupan liar itu di sini.
Begitulah komitmen diberi pasukan veterinar apabila seekor Red Lechwe jantan dikesan mengalami pembengkakan tidak normal pada bahagian testis dan memerlukan rawatan.
Pengurus Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, pembengkakan itu disedari sejak beberapa hari lalu sebelum pasukannya mengambil keputusan menjalankan prosedur sedasi bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan tanpa memberi tekanan kepada haiwan berkenaan.
Katanya, proses sedasi berjalan lancar dan memberi ruang kepada pasukan veterinar mengambil pelbagai sampel termasuk darah bagi mengenal pasti punca sebenar pembengkakan serta menilai tahap kesihatan keseluruhan haiwan itu.
“Selain memberikan rawatan awal, kami turut mengambil sampel untuk ujian makmal.
“Buat masa ini keadaannya stabil dan kami akan memantau proses pemulihannya dari semasa ke semasa khususnya di bahagian yang mengalami pembengkakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Dr. Zahidah, prosedur sedasi terhadap haiwan liar bukan tugas mudah kerana ia memerlukan perancangan rapi selain mengambil kira faktor cuaca bagi mengelakkan risiko seperti strok haba.
“Sedasi biasanya dilakukan pada awal pagi kerana suhu lebih sesuai. Jika terpaksa dijalankan ketika cuaca panas, kami akan menyediakan air untuk menyejukkan badan haiwan sepanjang prosedur.
“Dalam masa sama, Red Lechwe hidup secara berkumpulan. Ketika proses menangkap untuk sedasi dilakukan, haiwan lain akan bertindak balas dan berlari, sekali gus menjadikan operasi ini lebih mencabar serta memerlukan ketelitian tinggi,” katanya.
Tambahnya, setiap haiwan di Zoo Melaka menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setahun melalui prosedur sedasi bagi tujuan pengambilan sampel dan saringan kesihatan.
Katanya, bagaimanapun pasukan veterinarnya sentiasa melakukan pemeriksaan harian bagi mengelakkan sebarang penyakit akibat kecederaan, perubahan cuaca atau masalah kesihatan lain pada haiwan-haiwan yang terdapat di Zoo Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


