
MIMPI NGERI BANJIR KILAT MALIM JAYA BERAKHIR
KESIDANG 27 Jun – Masalah banjir kilat yang pernah menjadi mimpi ngeri penduduk Malim Jaya berjaya dikurangkan secara signifikan menerusi pelbagai langkah mitigasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, sebelum beliau dipilih sebagai wakil rakyat, kawasan berkenaan sering dilanda banjir kilat sehingga mencatatkan kejadian yang berlaku hampir setiap minggu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan media ketika itu, Malim Jaya pernah merekodkan sehingga 15 kejadian banjir dalam tempoh sebulan, sekali gus memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk setempat.
“Ketika itu masalah banjir kilat di Malim Jaya memang sangat serius. Hujan lebat selama 15 hingga 20 minit sahaja sudah cukup menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
“Faktor geografi yang rendah menyebabkan kawasan ini mudah terjejas apabila paras air sungai meningkat,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.
PERANGKAP SAMPAH JADI PUNCA
Rentetan isu itu, Allex mengambil tindakan melakukan siasatan di lapangan termasuk ketika cuaca hujan bagi mengenal pasti punca utama masalah tersebut.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan itu akhirnya mendapati antara punca utama yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah sistem perangkap sampah konvensional yang dipasang di saluran air.
Katanya, penggunaan jaring perangkap sampah menyebabkan aliran air tersekat apabila dipenuhi sampah, sekali gus menghalang air hujan daripada mengalir keluar dengan lancar.
“Saya turun sendiri ke lokasi dan merakam video sebagai bukti. Saya dapati paras air di sebelah kawasan banjir jauh lebih tinggi berbanding di sebelah satu lagi kerana aliran air tersekat oleh sampah yang terkumpul pada jaring tersebut.
“Apabila hujan lebat, sampah akan tersangkut dan menyebabkan air bertakung sebelum melimpah ke kawasan perumahan,” katanya.
Menurut beliau, antara tindakan pertama yang dilaksanakan selepas beliau dipilih sebagai wakil rakyat adalah menambah baik sistem tersebut bagi memastikan aliran air tidak lagi terhalang.
Selain itu, jelasnya, beberapa langkah lain turut dilaksanakan termasuk pembinaan benteng atau tembok di tebing sungai bagi menghalang limpahan air sungai ke kawasan perumahan ketika paras air meningkat.
“Kita juga menambah saluran keluar air atau outlet yang dilengkapi pintu air bagi membolehkan air hujan dialirkan keluar dengan lebih cepat apabila paras sungai berada pada tahap selamat,” katanya.
INOVASI LOG BOOM
Beliau berkata, satu lagi inovasi yang diperkenalkan adalah penggunaan sistem log boom, iaitu struktur terapung yang diperbuat daripada tong khas yang disambungkan merentasi sungai bagi menahan sampah daripada memasuki saluran kritikal.
Jelas Allex, sistem itu mampu menahan lebih 80 peratus sampah yang dibawa arus tanpa menghalang aliran air.
“Berbeza dengan jaring tradisional, air masih boleh mengalir dengan lancar di bawah struktur tersebut walaupun sampah terkumpul di permukaannya,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu terbukti berkesan dan berpotensi untuk diperluaskan ke kawasan lain yang berdepan masalah sama.
SISTEM PAM BERFUNGSI
Selain penambahbaikan infrastruktur saliran, dua buah pam baharu turut dipasang bagi membantu mengepam keluar air ketika hujan lebat dan paras sungai meningkat.
Katanya, permohonan bagi sebuah lagi pam tambahan kini sedang dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkukuhkan sistem kawalan banjir sedia ada.
“Apabila paras air sungai tinggi, pam ini memainkan peranan penting untuk menyedut dan mengalirkan keluar air dari kawasan perumahan.
“Beberapa kali kita dapat lihat walaupun paras air sungai berada pada tahap tinggi, kawasan perumahan masih selamat kerana sistem ini berfungsi dengan baik,” ujarnya.
Allex berkata, walaupun masih terdapat kejadian banjir kilat berskala kecil dalam keadaan cuaca tertentu berlaku, namun situasi itu jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
“Saya tidak nafikan masih ada beberapa kejadian kecil, tetapi jika dibandingkan dengan keadaan dahulu, perubahannya sangat ketara.
“Penduduk yang sebelum ini berdepan banjir berulang kali kini dapat menikmati keadaan yang jauh lebih baik hasil pelbagai langkah mitigasi yang dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan yang bersama-sama menjayakan usaha tersebut.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk pengurusan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan pegawai-pegawai terlibat yang sentiasa memberi kerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik kepada masalah banjir di Malim Jaya.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak yang mempunyai matlamat sama iaitu memastikan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


