Sorting by

×

PROGRAM JOM SANTAI @DATARAN MBMB MERIAHKAN SUASANA MALAM MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menganjurkan Program Jom Santai @ Dataran MBMB susulan kehadiran pengunjung yang amat menggalakkan di Dataran MBMB pada setiap malam minggu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, program itu akan diadakan dua kali sebulan iaitu pada minggu kedua dan keempat dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk tayangan wayang pacak.

Shadan berkata, pemerhatian mendapati kira-kira 500 pengunjung singgah di Dataran MBMB pada malam minggu antara jam 8 malam hingga 11 malam untuk beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Melihat kepada kehadiran yang begitu ramai, MBMB mengambil inisiatif menganjurkan program Jom Santai @ Dataran MBMB bagi memeriahkan lagi suasana dengan penganjuran beberapa aktiviti.

“Selain permainan tradisional seperti dam aji dan persembahan kebudayaan kita juga akan mengadakan tayang wayang pacak. Medium ini juga digunakan untuk menguar-uarkan informasi atau inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, MBMB berharap penganjuran program tersebut nanti bukan sahaja dapat menyediakan ruang santai malah menjadi platform mendekati rakyat sekaligus menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif yang disediakan.

“Untuk penganjuran pertama pada minggu terdahulu kita lihat ia mendapat sambutan amat positif namun begitu pada masa sama kami berharap pengunjung dapat menjaga kebersihan kawasan sekitar.

“Kami berharap program ini akan terus mendapat sambutan dan menjadi aktiviti bulanan yang dinantikan penduduk serta pengunjung yang menjadikan Dataran MBMB lokasi beriadah bersama keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI RAI 50 ANAK YATIM DUN RIM SEMPENA HARI ASYURA
Next post TRANSFORMASI ZOO MELAKA SEBAGAI DESTINASI KELUARGA – CMI