Sorting by

×

Melaka sedia bangunkan semula ‘masjid tertua’ negara

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 27 Sept. – Kerajaan negeri sedia membangunkan semula masjid lama di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal yang dipercayai merupakan masjid tertua di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, sebelum perkara itu dilaksanakan, pihaknya bagaimanapun meminta Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk menjalankan kajian terperinci terlebih dahulu.

“Sekiranya benar masjid tersebut merupakan masjid tertua di Malaysia atau Asia, saya meminta agar dilakukan sesuatu ke atas masjid tersebut dan membangunkannya semula tanpa merosakkan ciri-ciri yang ada pada masjid berkenaan.

“Saya percaya, masjid itu akan menjadi satu produk pelancongan baharu Melaka di bawah sub sektor pelancongan agama yang akan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di program Melaka Berselawat di Seri Bendahara, malam tadi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan masjid lama di Kampung Belimbing Dalam yang dibina menggunakan struktur batu laterit mungkin menjadi masjid tertua di Malaysia.

Pemangku Pengarah Institut Alam Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli berkata, melihat kepada keistimewaan seni bina dan material yang digunakan bagi pembinaan rumah ibadat itu, ia memungkinkan masjid itu dibina sekitar abad ke-15 iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ia sekali gus mengatasi usia Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan yang sebelum ini diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia yang dibina pada abad ke-18.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pihaknya juga bakal meminta PERZIM memanggil ilmuan terkemuka negara termasuklah ahli agamawan untuk mengkaji kesahihan berkenaan.

“InsyaAllah, saya bersama PERZIM akan melawat ke lokasi masjid berkenaan nanti. Jika benar, saya minta agar kita jaga dan pelihara khazanah berharga ini agar ia dapat menjadi tatapan anak cucu kita di masa akan datang,” ujarnya.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Melaka Berselawat bakal jadi program bulanan di Seri Bendahara
Next post Sulaiman harap bakal KM baharu Sabah dari GRS laksana tugas lebih cemerlang
Ubah saiz-+=