Melaka siap sedia terima kedatangan 5.6 pelancong tahun ini

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 April – Sasaran kedatangan 5.6 juta pelancongan ke Melaka tahun ini mampu dicapai susulan pembukaan pintu sempadan Indonesia tidak lama lagi selain usaha promosi pelancongan yang kini giat dirancakkan.

EXCO Pelancongan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, bagi tujuan itu, pengambilan pelajar dari Indonesia akan dibuat bagi membuat latihan praktikal di sini dalam bidang perhotelan dan hospital.

Usaha itu, menurutnya, bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri tersebut sekali gus persediaan menghadapi kemasukan pelancong yang dijangka mendadak tiba di negeri ini selepas perayaan Aidiifitri nanti.

“Sasaran 5.6 juta pelancong yang melawat Melaka tahun ini, saya rasa mampu dilaksanakan apabila pintu sempadan Indonesia dibuka tidak lama lagi.

“Saya baharu berbincang dengan Duta Indonesia pada 1 Ramadan lalu bahawa mereka masih menunggu perintah rasmi namun saya dapati sudah ada pergerakan dari pihak sana yang mana Medan sudah dibuka.

“Melalui pembukaan pintu sempadan Indonesia ini nanti, inshaAllah akan ada kedatangan pelancong khususnya dari Sumatera dan Pekan Baru juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bufet Ramadan Nostalgia Selera Kampung The Straits Hotel & Suites Melaka di sini.

Muhammad Jailani (dua dari kiri) menunjukan menu sate ayam dan daging yang merupakan antara sajian masakan kampung disediakan pada juadah berbuka puasa di The Straits Hotel & Suites Melaka di sini. Foto Norizan Abdul Muhid

Menurut Muhammad Jailani, usaha pengambilan pelajar dari negara jiran itu bertujuan melengkapkan persediaan Melaka menerima kunjungan pelancong susulan pembukaan pintu sempadan negeri pada 1 April lalu.

“Kita nak pastikan semua kemudahan dan fasiliti bilik hotel yang terdapat di Melaka sudah siap sedia menerima kunjungan pelancong.

“Sebagai merancakkan lagi promosi pelancongan negeri, kita akan berada di Tambak Johor, pintu sempadan pertama negara pada 15 April nanti bagi menarik kunjungan pelancong Singapura ke Melaka, ” ujar beliau.

Pada perkembangan yang sama, menurutnya, operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam akan diaktifkan dan kini sedang menunggu kebenaran rasmi dari pihak berkuasa berkaitan.

Ini katanya, laluan udara melalui LTAM mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara pada beberapa tahun lalu.

Muhammad Jailani. Foto Norizan Abdul Muhid

“Perkara ini telah diberi penekanan pada mesyuarat Exco minggu lalu dan pihak setiausaha kerajaan negeri telah diarah mendapatkan kementerian berkaitan bagi pembukaan LTAM segera.

“Kemungkinan Malindo Air akan beroperasi dengan menyediakan kapasiti 80 penumpang bagi lalauan Medan dan Pekan Baru,” katanya.

Pada masa yang sama, ujar beliau, pihaknya sedang dalam penelitian dan kajian semula mengenai rancangan penambahan beberapa laluan domestik dan antarabangsa antaranya ke Pulau Pinang, Pekan Baru, Langkawi, Medan dan Shantou, China.

Bilangan pelancong menggunakan perkhidmatan penerbangan di Melaka naik lebih 100,000 pada tahun lepas berbanding kurang 20,000 pada 2018.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1468
Kongsi :
Previous post 22,980 bilik hotel di Melaka tampung pengunjung
Next post Jumlah subsidi diputuskan setelah kuota haji negara dimuktamad
Ubah saiz-+=