Melaka terima zakat perniagaan RM15,240,918.15

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 22 Dis. – Melaka menerima sejumlah RM15,240,918.15 zakat perniagaan bagi tahun 2020 daripada agensi-agensi korporat di negeri ini.

Majlis penyerahan itu telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, hari ini.

Penyerahan itu turut disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali bersama barisan Pengerusi Jawatankuasa Negeri.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil; ahli-ahli lembaga pengarah Zakat Melaka serta wakil agensi korporat yang hadir untuk melunaskan zakat perniagaan.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 16 agensi korporat hadir menyempurnakan sesi penyerahan replika cek zakat perniagaan kepada Mohd Ali.

Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Negeri Melaka, Mohamad Zahir Hussin@Yusof mengetuai serahan zakat perniagaan iaitu sebanyak RM2,797,897.60.

Ia diikuti penyerahan zakat oleh Lembaga Jurukur Tanah Malaysia, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Tenaga Nasional Berhad, Bank Rakyat, Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Fazil Agency dan Yayasan Melaka.

Turut menyerahkan zakat ialah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Selia Selenggara Engineering Sdn Bhd, QSR Stores Sdn Bhd, Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd, Bina Masyhur Sdn Bhd, Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Rural Capital Bhd dan Putra Specialist Hospital Sdn Bhd.

Untuk rekod, kutipan zakat peniagaan bagi tahun ini menurun 11.42 peratus berbanding tahun lalu yang merekodkan kutipan RM17,206,205.78.

Penurunan itu dipercayai berpunca daripada penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan banyak syarikat dan agensi terkesan dari sudut kewangan.

Views:

1237
Kongsi :
Previous post Pekerja pusat jagaan didakwa lakukan amang seksual
Next post Biden terima suntikan vaksin COVID-19, mahu rakyat turut sama
Ubah saiz-+=