Melaka tuan rumah Hari Belia Negara – KM

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 17 Februari – Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 25 Mei depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kembara Jumpa Orang Muda (K-JOM) di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Selain itu, Ab Rauf turut memaklumkan Melaka merupakan negeri pertama dipilih sebagai lokasi jelajah K-JOM anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Program K-JOM anjuran KBS ini adalah bertujuan mendapatkan pandangan tentang pelan transisi kepimpinan belia ke arah penguatkuasaan dan pindaan Akta 668, Pindaan 2019 untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun selari dengan matlamat Dasar Belia Malaysia (DBM).

“Sehubungan itu Kerajaan telah memutuskan Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan pada 25 Mei depan akan diadakan di Melaka.

“Kerajaan Negeri optimis dan sentiasa komited memberi sokongan kepada golongan muda yang menjadi perantis kemakmuran dan kemampanan Negeri Melaka, bagi setiap penganjuran program dan aktiviti demi ekosistem belia yang mampan dan pembangunan belia yang lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kembara Jumpa Orang Muda (K-JOM) di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.

Turut hadir, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Khairul Adri Rosli.

Tambah Ab Rauf, persatuan belia di Negeri Melaka mempunyai sebanyak 394 persatuan yang masih bergerak aktif.

“Sasaran penyertaan K-JOM ini adalah seramai 19,000 belia bagi seluruh negara dengan melibatkan seramai 1,200 orang dari Negeri Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri akan sentiasa mendengar aspirasi dan inspirasi suara orang muda yang merupakan aset negara.

“Saya faham golongan muda atau darah muda masa kini sentiasa dahagakan program dan aktiviti yang berbentuk ‘trendy’ untuk menarik minat mereka menyertainya.

“Justeru, saya mahu agensi atau jabatan yang mengelolakan belia di negeri ini sentiasa berfikiran kreatif untuk merangka dan melaksanakan program mengikut peredaran masa kini untuk para belia kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Melaka anjur Santai Seni setiap bulan
Next post Melaka bakal anjur Jualan Ihsan Rahmah untuk jemaah haji
Ubah saiz-+=