Melaka bakal anjur Jualan Ihsan Rahmah untuk jemaah haji

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PENGKALAN BATU 17 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka bakal mengadakan Jualan Ihsan Rahmah (JIR) khusus buat bakal jemaah haji pada penghujung April depan.

Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, pelaksanaan penganjuran jualan itu kini sedang dijalankan pihaknya termasuk mengenal pasti premis perniagaan yang berminat.

Jelasnya, penganjuran jualan itu akan bermula selama sebulan iaitu akan bermula selepas sambutan Aidilfitri dan berakhir seminggu sebelum Aidiladha.

“Kita sekarang sedang bekerjasama dengan beberapa premis khususnya yang menjual kelengkapan menunaikan haji yang boleh memberikan harga ihsan kepada bakal jemaah untuk membuat persiapan.

“Sekiranya inisiatif ini berjaya, sekurang-kurangnya ia dapat membantu bakal jemaah haji membuat persiapan apabila adanya tawaran diskaun harga antara 10 hingga 30 peratus dan ini secara tidak langsung membantu meringankan perbelanjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah Back To School Negeri Melaka 2024, di sebuah pasar raya di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Terdahulu, perlancaran program itu telah disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Timbalannya, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Mengulas lanjut, Norena memaklumkan pada waktu ini KPDN juga sedang mengadakan perbincangan bersama premis yang menyatakan minat menyertai JIR untuk jemaah haji bagi memastikan harga yang ditawarkan adalah selaras di seluruh negeri.

“JIR ini akan membabitkan jualan kelengkapan untuk menunaikan fardu haji termasuklah pakaian, ihram, beg troli dan beg sandang. Untuk itu kita sedang selaraskan harga agar ia sama di semua premis yang terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Melaka tuan rumah Hari Belia Negara – KM
Next post Pelawa jurugambar ke tapak UNESCO Melaka
Ubah saiz-+=