Melaka United benam Perak
MELAKA United melakar kejutan selepas berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Perak dengan jaringan 1-0.
Beraksi di Stadium Perak, Ipoh, kedua-dua pasukan membawa misi ‘mesti menang’ dalam memperkukuhkan kedudukan dalam Liga Super 2020.
Namun begitu, Melaka United mengejutkan Perak selepas Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-51, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan Sang Kancil.
Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan memuji aksi cemerlang anak buahnya dan menganggap kemenangan ke atas Perak merupakan tonik terbaik dalam menghadapi perlawanan seterusnya.
“Tahniah kepada pemain, mereka jalankan tugas seperti yang dirancang, tidak banyak beri peluang kepada pasukan lawan, walaupun kita ada beberapa peluang, kita berjaya jaring satu gol berharga.
“Selepas ini kami akan terus berusaha, malam ini adalah hari bersejarah, tonik semangat bagi hadapi Terengganu pada perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.
Jelasnya, penerapan disiplin yang baik di kalangan anak buahnya merupakan faktor utama kemenangan Melaka United ke atas Perak.
“Sebelum gol tunggal, disiplin pemain amat mengagumkan, walaupun pasukan lawan membuat serangan bertubi-tubi, namun kita dapat bertahan dengan baik.
“Khairul Fahmi (penjaga gol) menjaga gawang dengan baik dan keseluruhannya mereka bermain dengan penuh semangat.
“Saya harap prestasi seperti ini dapat berkekalan. Semua pemain menggalas tugas dengan baik dan kami berhak menang,” tambahnya.